The Last Lecture, Randy Pausch, buku kenang-kenangan untuk anak-anak.




Pada kali pertama buku The Last Lecture berada di tangan saya, dugaan saya buku ini pasti lebih kurang sama dengan  Tuesday with Morrie karangan Mitch Albom, yang akan berkisah mengenai seorang profesor tua dan seorang pemuda yang mendengar cerita tentang kehidupan yang penuh dengan pengajaran muluk-muluk. Malahan, saya turut menduga  buku ini mempunyai bau-bau bacang buku- buku motivasi ala-ala Anthony Robbins atau Stephen R.Covey.

Ternyata dugaan saya meleset 360 darjah. The Last Lecture dibukukan oleh Randy Pausch sebagai kenang-kenangan buat tatapan anak-anaknya yang masih kecil ketika dia di ambang kematian. Saya tidak (belum lagi) menonton di youtube rakaman video the last lecture yang pernah viral dan menyentuh hati ramai manusia beberapa tahun lalu.

Membaca buku ini selepas beberapa tahun kematian Randy Pausch telah menjadikan buku ini sangat istimewa seolah-olah saya membaca sebuah biografi seseorang yang tidak pernah saya kenali namun amat menyentuh perasaan kerana beliau bercerita tentang kehidupan, bukannya mengenai penyakit kanser yang dihidapi beliau.

Semasa beliau berangkat dan menutup usia di muka bumi, anak-anaknya masih kecil, 6,4 dan 18 bulan. Pastilah pada usia semuda itu ingatan manusia belum terbentuk dan saya membayangkan buku ini dibaca oleh anak-anak beliau apabila mereka meningkat dewasa dan menemui begitu banyak kasih sayang yang tidak sempat dicurahkan oleh ayah mereka dalam bentuk perlakuan.

Selain itu, Randy Pausch memberitahu pembacanya agar menghidupkann impian yang pernah ditanam sejak zaman kanak-kanak. Sentiasa mencari jalan keluar setiap kali bertemu masalah dan jangan mudah menyerah kalah. Dan sekali lagi, sudah pasti, nasihat ini ditulisnya untuk anak-anaknya sendiri. Lebih menyentuh rasa, Randy juga memberi keizinan buat isteri yang telah ditinggalkan agar mencari kebahagiaan (pada saat ini Jai, isteri beliau, telah membina kehidupannya semula dengan perkahwinan baharu) dan meneruskan hidup.

Banyak kali mata saya bergenang pada beberapa halaman tertentu buku ini, hingga perlu menutupnya dan membaca semula setelah tenang. Ternyata, ia sebuah buku yang baik. 

Comments

Popular posts from this blog

biodata ruhaini matdarin

Novel Jendela Menghadap Jalan - sebuah trivia; bahagian 1

Hari-Hari Terakhir di Jesselton