Monsoon Country, calon penerima Hadiah Nobel Sastera dari Thailand



 Buku Monsoon Country terbit pada tahun 1988, 12 tahun sebelum menjelangnya millenia.  Apa yang terlintas dalam fikiran kita selama tempoh tersebut? Tentunya banyak sekali hal-hal mengenai perubahan pemikiran, gaya hidup, gejolak politik, turun naik prestasi ekonomi di Thailand bahkan juga di serantau Asia Tenggara, ancaman sosial serta pertembungan budaya yang lebih rencam di bawah langit terbuka. Selalunya pasti berkisar mengenai semua itu. Tambahan pula semenjak Revolusi 1932 yang dipelopori oleh anak-anak muda bagi menjatuhkan warisan monarki, yang berlanjutan ke tahun 1933 hingga berlakunya pergolakan politik menekan institusi beraja sampai menjelangnya kejatuhan perhimpunan kebangsaan dan pembahagian kuasa raja dengan parlimen sampai ke hari ini, telah mengubah landskap sosial dan budaya di Thailand.

Entah apakah kebetulan atau suatu petunjuk kebangkitan kesusasteraan di negara gajah putih, novel A Child of the Northeast karangan Kampoon Boontawee turut diterjemah ke bahasa Inggeris pada tahun yang sama, 1988. Bezanya cuma, Kampoon Boontawee menerima Sea Write Award pada tahun 1979 (berkongsi lantai sejarah yang sama dengan A.Samad Said sebagai penerima pertama anugerah tersebut) sedangkan Pira Sudham sampai ke hari ini (ingatan saya melayang mengingati Allahyarham T. Alias Taib) belum dipilih untuk menerima penghargaan tersebut. Bahkan Uthis Haemamool yang jauh lebih muda telah menerima penghargaan tersebut pada tahun 2009. Walaupun demikian, menerusi Monsoon Country, telah banyak pihak mengusulkan agar Pira Sudham dicalonkan untuk Hadiah Noble Bidang Sastera.

Persoalan dalam buku ini, jika dibaca oleh masyarakat pembaca di Thailand sendiri atau pun kita yang saya kira masih hidup dalam lingkungan kedekatan geografi dan berkongsi sedikit sejarah pahit dan manis dalam hal-hal sudut pandang sosial dan budaya, mungkin kesannya 'biasa-biasa' sahaja (Azizi Abdullah juga sering mengungkapkan tema dan persoalan serupa dalam novel-novel beliau) kerana mereka hidup dalam situasi yang diceritakan oleh Pira Sudham. Persoalan watak utama buku ini iaitu Prem Surin yang digambarkan mengalami hidup dalam dua budaya (kita di Malaysia senang menyebutnya; pengaruh budaya Barat dan ancaman sosial) dan kedua-duanya diceritakan secara langsung bagi memecahkan persoalan pokok; apakah nilai-nilai Timur harus dilepaskan dan budaya Barat dipatuhi untuk mengecapi kemajuan? Atau bolehkah kedua-duanya dicantumkan dan manusia maju tanpa perlu menyakiti?

Masyarakat di pedalaman Thailand yang disebut Napo dalam buku ini merupakan masyarakat konservatif, mereka hidup dengan menjaga budaya mereka selama berabad-abad. Bagaimana Pira Sudham, yang juga sebenarnya watak utama dalam buku ini iaitu Prem Surin memecahkan kebuntuan tersebut. Di luar buku, Pira Sudham ditanggapi sebagai seorang sasterawan warga Thailand yang 'istimewa'' kerana lahir dan dibesarkan di Thailand tetapi menulis dalam bahasa Inggeris. Kemampuan beliau itu pasti disebabkan kerana beliau mendapat  pendidikan di luar negara dan banyak menghabiskan waktu yang panjang dikota-kota  luar negara.

Pira Sudham belajar sastera Inggeris di Auckland University dan Victoria University,  menjadi pengagum karya-karya Emily Bronte, James Joyce, Patrick White dan George Orwell, yang kemudian menjadi panduan buat beliau semasa menulis dan dijadikan kayu pengukur buatnya sekiranya suatu hari kelak beliau ingin mencapai kemampuan yang serupa dengan pengarang-pengarang kegemaran beliau. Selama bertahun-tahun di luar negara, Pira Sudham menyedari bahawa tidak ada buku tentang Thailand yang ditulis oleh penulis Thailand sendiri dalam bahasa Inggeris, melainkan buku dalam bahasa Thailand yang terjemah ke bahasa asing. Sementara penulis asing yang menulis mengenai Thailand dari sudut pandang mereka, hanya menulis di permukaan sahaja  dan tidak menyusur sampai ke bawah dan jauh ke akar umbi. Kerana itulah beliau memutuskan menulis Monsoon Country dalam bahasa Inggeris, yang kemudiannya diterjemah ke pelbagai bahasa seperti Jerman, Perancis dan Jepun.

Membaca Monsoon Country bagaikan membaca sebuah autobiography. Plot digerakkan berdasarkan pembahagian bulan dan tahun, yang tempoh waktunya berlangsung selama 26 tahun, bermula pada Mei 1954 sehingga Julai 1980 agar kita dapat mengikuti jarak sesuatu peristiwa yang mencetuskan peristiwa sebelum dan selepasnya secara konvensional dan banyak kali saya merasa seperti membaca sebuah diari. Pira Sudham meletakkan dirinya sendiri di dalam setiap cerita dan meluahkan pandangan-pandangannya terhadap 'bagaimana sekiranya begini? kan jauh lebih okay?' atau 'bolehkah begini?' Mudah benar dikesan, kisahnya mengenai petani miskin, Pira Sudham sendiri lahir dalam perut keluarga petani dan beliau berkata:

"Andai kata saya tidak meninggalkan desa saya, saya juga akan menjadi seorang petani. Saya akan menjadi sasaran seperti kebanyakan orang kampung saya; kekuasaan alam seperti banjir, kemarau, penyakit, kebodohan dan hidup yang serba kekurangan. Dengan daya tahan sendiri, saya akan menerima semua nasib saya, sebagai sesuatu yang tidak boleh saya elakkan dalam melawan kehidupan ini.”

"Saya kembali ke kampung halaman saya untuk mencatat apa yang saya ingat dan apa yang saya lihat, memperhatikan kronologi perubahan, mengenalpasti unsur-usur perubahan. Ada masanya saat unsur perubahan itu merupakan kesenangan untuk secara total menghubungkan dan menggabungkannya dalam suasana persaingan, untuk membaurkan dengan orang-orang desa dan untuk memperlihatkan kepada seseorang bahawa kegembiraan mungkin diraih melalui hal-hal yang sederhana. Bagaimanapun, saya melihat dengan perasaan bercampur baur ketika kata-kata seperti 'langgar, protes dan pembersihan' pada suatu kali tidak terdengar di desa-desa itu, sekarang digunakan media massa, lambat laun merangkak perlahan ke dalam fikiran seperti unsur perubahan yang gelap. Saya bertanya sendiri: Berapa lama ketenangan dan cara hidup desa itu, yang saya kenal sejak zaman kanak-kanak saya, bertahan? Perlukan saya, pada suatu hari, menjadi alat perubahan itu?"

Maka, di dalam buku ini Pira Sudham setelah berkelana di banyak kota besar dunia dan mendapat kesedaran telah pulang ke desanya menerusi watak Prim Surin untuk melukis kepedihan manusia petani di desa Napo dengan sudut-sudut yang dikuasainya terutama sekali memori di zaman kanak-kanak, kesukaran hidup yang dialami, gambaran sawah yang berhadapan dengan musim-musim suka dan duka yang diperincikan bukan sekadar sebagai suatu pengamatan di permukaan, namun beliau menelanjangkan fikiran dan jiwanya hingga pembaca berasa simpati. Meskipun kisahnya mudah, namun pada satu titik apabila Pira Sudham bergelut dengan pemikirannya sendiri, cerita yang mudah segera menjadi kompleks lantas menghasilkan wacana-wacana yang boleh dilihat dari pelbagai perspektif.

***
Saya sering merindui untuk membaca novel ini berulang kali untuk mencium bau di dalamnya, bau hujan di musim tengkujuh, bau lumpur di zaman kanak-kanak Prim Surin bermain di atas badan kerbau, bau memori di zaman kanak-kanak dari sebuah zaman yang telah lama berlalu tetapi diceritakan dengan begitu mahir sekali, dengan bahasa yang lancar dan ada ketikanya saya melihat bayangan Ernest Hemingway di dalam buku ini. :)

Salam hormat
Ruhaini M

#Malaysiabilanakdapatnobelprize#

Comments

Popular posts from this blog

biodata ruhaini matdarin

Novel Jendela Menghadap Jalan - sebuah trivia; bahagian 1

Hari-Hari Terakhir di Jesselton