Skip to main content

Memori mengenai Jendela Menghadap Jalan






Memori ketika menulis novel ini agak kabur dalam ingatan saya tetapi ia ditulis semasa arwah ibu masih di sisi. Sepuluh tahun sudah berlalu. Saya memulakan kerja-kerja mengarang naskah awal novel ini pada pertengahan tahun 2007, tanpa sebarang hasrat hendak menghantarnya ke mana-mana penerbitan. Namun dorongan utama saya untuk terus meneruskannya apabila saya membaca novel Sally Morgan berjudul My Place - sebuah novel lama pengarang Australia. Kini, saya tidak lagi mengingati akan plot buku tersebut namun saya sentiasa mengenang akan keindahan langgam bahasanya. 

Pada hari ini, novel ini dikaji oleh para pelajar di empat buah negeri (Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak) saya juga tidak pernah berhasrat novel ini menjadi bahan kajian sepertimana saya tidak menyimpan keyakinan tinggi ketika menghantar manuskrip novel ini kepada sekretariat Hadiah Sastera Kumpulan Utusan bagi tahun penilaian 2008. Sehinggalah pada suatu hari, pada penghujung bulan Februari atau awal Mac 2009 (rasa-rasanya) Encik Rozlan Mohammed Noor (beliau telah menyeberang sempadan ke ITBM) menghubungi saya, meminta naskah lembutnya dan menyuruh saya berahsia. Beberapa bulan kemudian, pada bulan Jun, saya hadir ke majlis penyampaian hadiah di Istana Budaya. Menjadi pemenang tempat kedua dan di hadapan saya adalah Sri Rahayu.

Seorang kenalan saya 'menegur' mengenai plot novel ini, katanya terlalu banyak yang hendak saya sampaikan. Rasanya seperti saya hendak meletupkan emosi pembaca. Ada cerita tentang kubah. Ada cerita tentang jendela. Kes sosial rumahtangga. Apa yang sebenarnya hendak saya sampaikan? Jawab saya; jika kita hendak mengangkat isu dalam sebuah masyarakat, walau sekecil apa sekalipun, ia tidak pernah tunggal, selalu plural. bercambah, membiak dan tidak pernah habis. Dia membidas: Tumpukan cuma satu, Buat satu-satu. Nasihatnya saya hargai. 

Hari ini, saya cuba mengenang hal-hal yang berada di sekeliling saya ketika saya menukang manuskrip novel ini dan saya menemui ingatan tentang Kungfu Panda, Yasmin Ahmad, Lenka, Bird Thongchai, Influenza serta Ironman. Ironinya, tiada satu pun yang berkaitan dengan novel Jendela Menghadap Jalan, mereka hanya menemani saya, berlegar-legar sebagai peristiwa sekeliling. Apabila saya mendengar semula lagu yang kerap saya putarkan ketika menulis naskah Jendela Menghadap Jalan, iaitu Trouble is a friend, saya mendapati perasaan itu telah jauh berbeza. Meskipun lirik dan melodinya tetap sama. 


Namun demikian, Jendela Menghadap Jalan adalah pembuka jalan buat saya - secara halus ke dunia sastera, lebih serius. 

naskahnya masih boleh dilihat dan dibeli di sini .... http://www.mybooks.com.my/index.php/kedai-buku/hadiah-sastera/411/jendela-menghadap-jalan-detail


Salam hormat.

RM


Comments

  1. tumpang tanya, apakah sebenarnya tema yang hendak diutarakan? sebab terdapat perbalahan dan kupasan yang berbeza tentang tema novel ini. Terima kasih. Tujuan saya bertanya adalah untuk menjelaskannya kepada anak murid saya.

    ReplyDelete
  2. Assalamualaikum, terima kasih atas pertanyaan. Semasa saya menukang naskah ini saya tidak memikirkan secara terperinci mengenai temanya. Tetapi apabila telah siap dan membacanya sekali lagi ketika masa sudah lama berlalu, saya percaya temanya menjurus ke arah kekeluargaan dan kemasyarakatan. Semoga maklum balas dari saya dapat membantu.

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular posts from this blog

biodata ruhaini matdarin

http://ruhainimatdarin.simplesite.com/

Ruhaini Matdarin dilahirkan pada 16 Mac 1981, di Kota Kinabalu, Sabah. Mendapat pendidikan sehingga Sarjana Pengurusan Kewangan, pernah berkhidmat sebagai juruaudit, pengurus kewangan dan penasihat kewangan di beberapa buah syarikat pembinaan dan konsultansi. Pernah berkhidmat di Tak Community Collegge sebagai tenaga pengajar separuh masa program budaya Asean 2012-2013. Bermula tahun 2016 memilih untuk bekerja secara freelance (tapi hal ini ternyata menambah kesibukannya terhadap kerja hakiki) supaya boleh menulis pada bila-bila masa yang disukai dan melakukan perkara lain yang lebih bermanfaat selain bekerja keras hanya untuk membayar bil dan cukai-cukai. Ahli Badan Bahasa dan Sastera Sabah serta ahli seumur hidup Penulis Nasional (PENA).  Menjadi pembimbing dan mentor bagi MPR peringkat negeri Sabah, bengkel penulisan novel dan cerpen anjuran unit Penerbitan DBP cawangan Sabah. Alumni Mastera novel 2016. Pengasas bersama SUNTIK, sebuah program b…

Novel Jendela Menghadap Jalan - sebuah trivia; bahagian 1

Saya fikir saya harus menulis mengenai entri ini memandangkan novel ini menjadi teks kajian pelajar (juga guru-guru sekali) yang mungkin tertanya-tanya setiap sesuatu di sebalik simbol tempat, watak serta latar yang membangunkan cerita. Saya gunakan teknik 'cantuman idea' yang bermakna tidak keseluruhan cerita berlaku di kampung datuk. Kampung yang jendela-jendelanya menghadap ke jalan dibina oleh cantuman-cantuman idea. Ia wujud tetapi tidak pada satu latar. Ia wujud disebabkan oleh cantuman-cantuman idea hasil daripada perjalanan saya. Ia sebuah fiksyen. 
Misalnya begini. Watak nenek, beliau seorang berketurunan Cina, itu betul. Idea watak ini saya tulis selepas kunjungan di Kampung Cina, Terengganu. Usia kampung ini sekitar 300 tahun, menjadi tempat pedagang singgah dari Selatan China. Kedai-kedai lama sudah banyak diubahsuai dan dijadikan kafe, restoran serta rumah tumpangan dengan ciri moden. Rata-rata generasi baharu di kawasan kampung ini dipanggil Peranakan. Ia terletak…