Hanyut, Novel Wacana Penentangan bentuk baharu


Membaca Novel Hanyut terbitan DBP 2015 menghubungkan pembaca kepada hubungan manusia Barat dengan manusia Timur, serta hubungan manusia moden dengan manusia masa silam menerusi peranan pelayaran dan sebuah pulau sebagai medium penyampaian. Di sini Faridah Abdul Hamid, pengarang novel ini berusaha mengembalikan kegemilangan aktiviti maritim di Tanah Melayu yang pernah gemilang suatu masa dahulu. Novel Hanyut lebih bersifat Wacana Penentangan dan Wacana Penerimaan, boleh juga dikaji dari sudut Pascakolonial, Subaltern atau Model Todorov: Hubungan Penjajah-Peribumi. Namun demikian, sekiranya dilihat dari sudut teori Wacana Penentangan dan Wacana Penerimaan, novel ini bakal menyerlahkan pemikiran serta idealisme pengarang, sekali gus mengungkap hal-hal tersurat dan tersirat dalam novel Hanyut.
Luke, seorang pemuda tampan berketurunan Belanda-Melayu yang menjadi mangsa perceraian ibu bapanya. Luke dan adik-beradiknya membesar di Barat, manakala ibu Luke seorang Melayu telah kembali ke Tanah Asal (dipercayai Tanah Melayu). Semakin tumbuh dewasa, Luke berasa hidupnya kosong. Luke cuba menjejaki ibunya dan pertemuan semula dengan wanita kesayangannya itu telah mengembalikan semula sebahagian daripada jati diri Melayu dan Islam yang telah sekian lama terhakis dari dalam dirinya. Selepas kematian ibunya, Luke mula belayar mengelilingi dunia dan sebelum pelayarannya itu hatinya terpaut pada Darian, gadis Melayu yang cantik menawan. Pelayarannya bersama Teruna Lautan, menghanyutkannya di sebuah pulau bernama Pulau Orang-Orang Hanyut yang penuh misteri.
Gambaran pemuda tampan berketurunan Belanda-Melayu sebagai watak utama novel ini dikesan sebagai satu Wacana Penerimaan peribumi terhadap asimilasi budaya dan agama yang menjadi salah satu faktor penting pembinaan tamadun menerusi aktiviti penjelajahan dan penerokaan sejak zaman pra-sejarah hingga ke zaman ledakan industri di Eropah bagi memenuhi kehendak politik, ekonomi dan sosial. Meskipun dalam diri Luke berlaku penentangan, kekeliruan mengenai ‘siapa yang lebih unggul’ antara darah  Melayu dan Barat yang mengalir dalam tubuhnya, namun menerusi cara Luke menanggapi persekitaran, keinginannya mencari asal-usul diri di pihak ibunya yang merupakan seorang Melayu, telah menyerlahkan kemenangan dunia Timur bagi menghapuskan bayangan kesan kolonialisme dan imperalisme yang berlaku di alam Melayu sewaktu zaman penjajahan dahulu.
Hal tersebut dapat dibuktikan menerusi kenyataan yang disebutkan oleh Luke sendiri:
Ketika itu usia Zakry 18 tahun. Namanya harum. Ayah gembira. Zakry menjadi sahabat ayah. Mereka akrab. Mereka bersembang tentang kapal dengan mata bercahaya, bersungguh-sungguh. Kata ayah, Zakry pewaris bakat pelaut keturunannya. Orang Timur yang kolot itu berjaya menakluki hati orang Barat yang moden. Hal 83
Menurut Edward Said (2008:35), pengarang pascakolonial mempunyai impian untuk meruntuhkan segala-gala mitos tentang keagungan Barat sebagai usaha untuk menyembuhkan luka penjajahan. Maka dengan itu, Faridah Abdul Hamid secara sengaja menjadikan Luke, seorang pemuda berdarah Belanda-Melayu sebagai seorang pendengar (mangsa) dan sebagai wakil dunia Barat untuk menerima Wacana Penentangan yang dilakukan oleh penduduk peribumi di atas semua sebab dan akibat yang mereka percayai dibawa dan disebarkan oleh penjajah. Ia terbukti menerusi kritikan Taha:
Katanya lagi kemodenan yang ditabur penjajah akhirnya membawa anak-anak muda keluar dari Pulau ini. Penjajah adalah penjajah, sekalipun hadir dengan berpakaian Melayu atau bersongkok. Katanya lagi budaya tidak mampu mengikat nurani selain daripada agama. Hal 44.
Taha meneruskan lagi kritikannya:
“Pendidikan, pekerjaan, kekayaan dan pelbagai macam soal keduniaan itu memisahkan anak-anak muda ini daripada kami. Daripada agamanya, daripada budaya dan bangsanya. Lihat! Anak-anak muda itu berseluar singkat dan sendat. Anak-anak gadisnya menyeru kepada kebinasaan berpakaian seperti telanjang dan kepalanya berbonggol unta. Al-Quran itu telah lama memberi petanda, dan telah muncul di hadapan mata kita tanda-tanda kiamat itu. Kedatangan anak penjajah ini juga sedemikian rupa.” Pekiknya di atas meja warung Samad. Hal 44.
Akan tetapi, novel Hanyut bukan semata-mata kritikan Timur yang luhur terhadap Barat yang bejat. Ia juga Wacana Penentangan terhadap tamadun manusia moden kerana ketamakan mereka terhadap pangkat dan kuasa hingga sanggup menindas golongan bawahan, meskipun mereka adalah golongan terpinggir dari Tanah Asal sebelum tiba ke pulau tersebut. Gramsci mengelar kelas golongan terpinggir, atau manusia kecil yang tidak berkuasa ini sebagai Subaltern. Malahan A.Samad Said juga pernah melakukan hal yang sama menerusi Hujan Pagi, menegur kezaliman penjajah, yang tidak semestinya warga asing, bahkan warga tempatan juga. Dan Faridah Abdul Hamid dengan bijak sekali menggunakan watak seorang pemuda mewakili  Timur dan Barat bagi melihat sikap manusia di Pulau Orang-Orang Hanyut (dalam konteks dunia moden), yang menjadi mangsa kebejatan politik, ekonomi dan sosial lalu terbuang dari Tanah Asal dan bangkit untuk menjadi manusia yang ingin berkuasa di pulau baharu (Pulau Orang-Orang Hanyut) bagi memulakan tamadun manusia baharu, mengulangi proses yang sama sepertimana tamadun sedia ada di dunia dibina, atau meniru sistem asal yang telah membuang mereka ke pulau tersebut.
Hal ini dibuktikan melalui kenyataan watak Aku kepada Luke:
Katanya lagi, terasing, terpisah, dan saling menguasai bangsa lain adalah permulaan sebuah tamadun. Hal 128
Hal yang sama juga dapat dibuktikan menerusi kata-kata Presiden kepada Luke:
Katanya, dia mempunyai visi yang besar, ingin berkuasa di pulau ini. Hal 142
Dapat juga dilihat watak Setul yang ingin menewaskan Presiden:
“Presiden juga pernah mengelar dirinya sebagai Sargon Agung sebelum menggunakan nama Presiden, dia juga mengubah bangsa asalnya. Katanya dia berbangsa Akkadia. Pulau ini umpama Mesopotamia tanpa sungai, hanya pulau yang dingin dan kelihatan seperti seorang perempuan bersimpuh sedih. Dia ingin membangunkan kota-kota kecil daripada penempatan yang kecil menjadi kota Ur, Ereck, atau Kish. Dia terlalu banyak angan-angan. Dia menganggap dirinya agung. Dia mahu membina kota impiannya, tetapi itu tidak semudah yang dia fikirkan. Aku juga mempunyai impian. Ini adalah tamadun baharu. Aku juga mahu membina tamadun yang lebih hebat dan atas mahuku. Aku mahu berpaksikan kepada al-quran dan sunnah,” tegas Setul. Hal 153
Walaupun begitu, dapat dikesan satu lagi Wacana Penerimaan peribumi – merujuk kepada manusia di Pulau Orang-Orang Hanyut yang melihat Barat (diwakili oleh Luke) sebagai penyelamat mereka. Menerusi watak Mawar, yang kemudian menukar dirinya sebagai Darian telah meminta Luke membawanya pergi hingga sanggup menawarkan diri menjadi isteri kedua Luke demi membebaskan dirinya daripada pemerintahan kejam Presiden serta keinginan keluar daripada hidup getir di pulau tersebut. Menurut kajian Umeeta Sadarangani (1997:10): Apabila barat dipandang oleh pengarang India diaspora sebagai penyelamat golongan wanita yang tertindas dalam komuniti bangsanya sendiri, ia dilihat satu representasi Wacana Penerimaan terhadap Barat.
Dapat dilihat di sini bahawa pemisahan dikotomi antara Timur dengan Barat tidak wujud secara tajam kerana Wacana Penentangan yang berlaku di pulau tersebut berbentuk baharu, sehingga Barat dan Timur menjadi kabur, meskipun ruang lingkupnya masih berbicara mengenai penjajahan pihak atasan terhadap pihak bawahan terhadap pelbagai bangsa (termasuk Barat) yang menghuni pulau tersebut. Para penghuni Pulau Orang-Orang Hanyut merupakan cermin kepada bangsa manusia di seluruh dunia, terutama golongan tertindas tanpa mengira sama ada mereka berada di Timur atau Barat. Perjuangan mereka adalah untuk meneruskan kehidupan yang lebih baik lalu mengaburkan konsep Timur dan Barat itu sendiri hingga sanggup berpihak kepada sesiapa sahaja yang mampu menjaga kebajikan mereka.
Ruang waktu dan latar tempat yang absurd telah membentuk cerita dalam cerita dalam novel Hanyut, misalnya bangsa yang wujud beribu-ribu atau beratus-ratus tahun lalu terdampar di pulau tersebut boleh sahaja ditafsir daripada pelbagai sudut, sebuah pulau yang kelihatan seperti seorang perempuan bersimpuh merupakan satu simbol kepada penantian seorang wanita yang ditinggalkan kekasihnya dan setia menunggu di situ. Gambaran tersebut juga turut merakam pelbagai peristiwa yang saling berjerait, tindak balas pemikiran yang mewakili Timur dan Barat, kritikan sosial yang seimbang agar tidak menjejaskan estetika dan akhirnya ia menghidangkan kepada pembaca akan sebuah pengalaman mencari jati diri, kembali kepada satu bangsa (dalam konteks ini Melayu) yang unggul dan Islam yang syumul sebagai pegangan hidup.

***
Bahagian paling menarik dalam novel ini bermula agak lewat dan 70 halaman terawal sekiranya diisi dengan bahagian yang penting, pasti akan menjadikan naskah ini jauh lebih kuat namun ia satu percubaan menarik daripada Faridah dan memandangkan Hanyut adalah novel pertamanya, sokongan harus diberikan kepada naskah ini. 

Selamat membaca.
RM

Comments

Popular posts from this blog

biodata ruhaini matdarin

Novel Jendela Menghadap Jalan - sebuah trivia; bahagian 1

Karya paling lama saya tukangi