Skip to main content

sebuah buku yang menghubungkan cerita-cerita pada buku yang lain


Setiap kali saya memulakan bacaan buku baharu (sama ada yang baru dibeli atau sudah lama di rak tetapi baru dibaca) saya sering dilanda perasaan ingin tahu: Apakah buku ini akan menghubungkan saya dengan cerita-cerita lain pada buku yang lain yang telah saya baca sebelumnya? Lazimnya, ya! Malahan seringkali pula berlaku saya membuat perbandingan antara kedua atau ketiga atau keempat-empat buku. Saman Ayu Utami) misalnya, berhubung langsung dengan  The God of Small Things (Arundhati Roy). Our Happy Time (Gong Ji-Young) secara emosinya berhubung dengan Please Look After Mother (Kyung Sook Shin) begitu juga dengan Cantik Itu Luka (Eka Kurniawan) yang 90% berbau kuat One Hundred Years of Solitude (Gabriel Garcia Marquez) dan baru-baru ini Kunang Pesisir Morten (Raiha Bahauddin) secara terus membawa saya ke Laskar Pelangi (Andrea Hirata) dan senarai ini akan berterusan menjadi panjang.



Terkini, semasa dalam perjalanan pulang dari Pattaya ke Bangkok dan ke Kota Kinabalu, saya menekuni The Confidant (Helene Gremillon) novel Perancis yang diterjemah ke bahasa Inggeris. Latarnya pada zaman Perang Dunia Kedua dan halaman demi halaman telah perlahan-lahan memancing semula ingatan saya terhadap novel The Last Time I Saw Mother (Arlene J.Chai) pengarang Filipina, yang juga menulis mengenai kehidupan sukar semasa perang. Kedua-dua novel ini meletak latar zaman perang, 1940-1942. Bezanya hanya teknik penceritaan. Gremillon pintar memanfaatkan teknik imbas kembali.

Gremillon tidak bercerita mengenai perang atau akibat perang tetapi mengenai cinta dan cinta itu sendiri yang menghubungkan cerita-cerita yang terdapat di dalam perang. Saya fikir begini seharusnya sebuah novel sejarah ditulis. Tambahan pula ia 'sangat Perancis' dan tidak memaksa pembaca untuk mengetahui kebejatan Nazi atau kebobrokan senjata api atau mengapa kita harus berhenti berperang demi dunia yang lebih aman. Gremillon cuma bercerita mengenai dirinya, sahabat karibnya dan dua watak ini secara luar biasa menghubungkan pembaca dengan semua yang diperlukan dalam hidup yang lebih baik tanpa perang. Meskipun novel ini mengenai masa lampau, namun ia bercerita mengenai masa sekarang. Lagipun ia sebuah naskah untuk hati. Jika punya kesempatan saya ingin mengulas naskah ini secara panjang lebar.


Salam hormat

RM

Comments

  1. Menarik, menarik. Anda yang suka baca Gabriel Garcia Marquez? Baca juga wawancara dengan Gabriel (imajiner) di stenote-berkata.blogspot.com Mudah-mudahan suka.

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular posts from this blog

biodata ruhaini matdarin

http://ruhainimatdarin.simplesite.com/

Ruhaini Matdarin dilahirkan pada 16 Mac 1981, di Kota Kinabalu, Sabah. Mendapat pendidikan sehingga Sarjana Pengurusan Kewangan, pernah berkhidmat sebagai juruaudit, pengurus kewangan dan penasihat kewangan di beberapa buah syarikat pembinaan dan konsultansi. Pernah berkhidmat di Tak Community Collegge sebagai tenaga pengajar separuh masa program budaya Asean 2012-2013. Bermula tahun 2016 memilih untuk bekerja secara freelance (tapi hal ini ternyata menambah kesibukannya terhadap kerja hakiki) supaya boleh menulis pada bila-bila masa yang disukai dan melakukan perkara lain yang lebih bermanfaat selain bekerja keras hanya untuk membayar bil dan cukai-cukai. Ahli Badan Bahasa dan Sastera Sabah serta ahli seumur hidup Penulis Nasional (PENA).  Menjadi pembimbing dan mentor bagi MPR peringkat negeri Sabah, bengkel penulisan novel dan cerpen anjuran unit Penerbitan DBP cawangan Sabah. Alumni Mastera novel 2016. Pengasas bersama SUNTIK, sebuah program b…

Novel Jendela Menghadap Jalan - sebuah trivia; bahagian 1

Saya fikir saya harus menulis mengenai entri ini memandangkan novel ini menjadi teks kajian pelajar (juga guru-guru sekali) yang mungkin tertanya-tanya setiap sesuatu di sebalik simbol tempat, watak serta latar yang membangunkan cerita. Saya gunakan teknik 'cantuman idea' yang bermakna tidak keseluruhan cerita berlaku di kampung datuk. Kampung yang jendela-jendelanya menghadap ke jalan dibina oleh cantuman-cantuman idea. Ia wujud tetapi tidak pada satu latar. Ia wujud disebabkan oleh cantuman-cantuman idea hasil daripada perjalanan saya. Ia sebuah fiksyen. 
Misalnya begini. Watak nenek, beliau seorang berketurunan Cina, itu betul. Idea watak ini saya tulis selepas kunjungan di Kampung Cina, Terengganu. Usia kampung ini sekitar 300 tahun, menjadi tempat pedagang singgah dari Selatan China. Kedai-kedai lama sudah banyak diubahsuai dan dijadikan kafe, restoran serta rumah tumpangan dengan ciri moden. Rata-rata generasi baharu di kawasan kampung ini dipanggil Peranakan. Ia terletak…

Memori mengenai Jendela Menghadap Jalan

Memori ketika menulis novel ini agak kabur dalam ingatan saya tetapi ia ditulis semasa arwah ibu masih di sisi. Sepuluh tahun sudah berlalu. Saya memulakan kerja-kerja mengarang naskah awal novel ini pada pertengahan tahun 2007, tanpa sebarang hasrat hendak menghantarnya ke mana-mana penerbitan. Namun dorongan utama saya untuk terus meneruskannya apabila saya membaca novel Sally Morgan berjudul My Place - sebuah novel lama pengarang Australia. Kini, saya tidak lagi mengingati akan plot buku tersebut namun saya sentiasa mengenang akan keindahan langgam bahasanya. 
Pada hari ini, novel ini dikaji oleh para pelajar di empat buah negeri (Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak) saya juga tidak pernah berhasrat novel ini menjadi bahan kajian sepertimana saya tidak menyimpan keyakinan tinggi ketika menghantar manuskrip novel ini kepada sekretariat Hadiah Sastera Kumpulan Utusan bagi tahun penilaian 2008. Sehinggalah pada suatu hari, pada penghujung bulan Februari atau awal Mac 2009 (rasa-ras…