catatan peribadi seputar kehidupan di tanah orang.





Seawal pagi, menyelak kain langsir untuk mendapatkan pemandangan bahagian belakang kuil yang berhadapan dengan lantai bawah rumah. Beberapa orang sami buddha sedang tekun memerhatikan kuil yang dipelihara oleh mereka. Seekor kucing hitam berusia empat bulan (dua hari lalu saya dan teman serumah membawanya ke klinik untuk mendapatkan vaksin) berlari-lari di hadapan garaj. Secawan kopi menemani hari baharu saya, pada minggu terakhir di Tak. Membaca Bangkok Post. Mengikuti beberapa berita yang sedang hangat viral di tanah air. Pantai Kasih.

Sambil-sambil menikmati secawan kopi yang masih hangat, membelek-belek senarai pendek yang hendak dibawa ke Bangkok dan Pattaya. Tidak mengejutkan, semuanya buku. Dalam buku nota saya yang masih banyak ruang kosong. Setidak-tidaknya sebuah kumpulan cerpen dan novel harus dihantar untuk penilaian dan terbit tahun hadapan. Di Thailand masyarakatnya bertumpu pada berita kematian seorang aktor, beberapa hari lalu setelah bergelut dengan denggi selama lebih 70 hari. Teman saya bersungguh-sungguh memberitahu betapa mendiang aktor tersebut pencinta haiwan dan pemurah.

Terkenang pertemuan dengan kenalan (wanita) dari rangkaian kerja yang usianya muda setahun daripada saya namun mempunyai aset kekayaan lebih 5 juta ringgit. Beliau adalah seorang pemaju perumahan dan pernah menjadi penjual buku terpakai di pasar malam pada usia seawal 16 tahun. Awal Januari lalu beliau merasmikan kuil yang dibinanya sendiri atas sumbangan derma para teman dan masyarakat. Kalau di Malaysia, saya percaya sudah lama dia mendapat pingat kebesaran. Namun di sini, dia hanya mendapat 'Terima kasih atas kebaikan' dan hal tersebut mengingatkan saya pada kuasa zakat.

Teman saya menjalankan perniagaan tutorial dan mengupah guru-guru berbangsa Filipina bagi mengajar bahasa English bagi subjek matematik dan sains kepada anak-anak tempatan. Salah seorang daripada mereka yang saya temui berkata; Saya tidak mengerti mengapa Thailand bersungguh-sungguh mempromosikan Asean menerusi bendera-bendera yang dipacak di hadapan premis dan bangunan kerajaan sejak dua tahun lalu, sedangkan di Philippinnes, ramai yang tidak ambil kisah pun. Saya katakan padanya; saya mahu (setidak-tidaknya) sebuah buku saya diterjemah ke seluruh bahasa-bahasa Asean, suatu hari nanti.

Cawan saya telah kering. Saya harus berangkat.


Salam hormat.

RM

Comments

Popular posts from this blog

biodata ruhaini matdarin

Novel Jendela Menghadap Jalan - sebuah trivia; bahagian 1

Hari-Hari Terakhir di Jesselton