Cyril Alliston, Threatened Paradise dan pengalamannya di borneo utara



Diterbitkan di Great Britian pada tahun 1966. Buku ini mempunyai empat bahagian:

1). Sea Gypsies Coast
2). Borneo's Mild Men
3). The Hills of the Muruts
4). The Chinese.

Serta epilog mengenai penyertaan Sabah ke dalam pembentukan Malaysia. 

Pengamatan Alliston mengenai manusia-manusia di Borneo Utara pada tahun-tahun maklumat dalam buku ini ditulis amat baik sekali dan kebenaranya dapat disahkan. Membaca beberapa bahagian buku ini sering membawa ingatan saya terhadap buku tulisan Henri Fauconnier yang menulis Malaisie (bahasa Perancis sebelum diterjemahkan ke bahasa Inggeris: The Soul of Malaya) naratifnya segar dan membuat saya tersenyum-senyum sendiri meskipun pada bahagian Alliston menggambarkan seorang pemuda Bajau mencuri kerbau. Secara kebetulan juga buku ini saya baca setelah membaca buku-buku tulisan Agnes Keith dan sebuah buku tulisan Oscar Cook berjudul Borneo The Stealer of Heart, yang ternyata membantu mengukuhkan gambaran sosial masyarakat yang cuba dituliskan pada waktu tersebut.

Gambaran semasa di tamu, bukit, di jalanan, bahkan terhadap gadis-gadis tempatan serta di pejabat kerajaan yang diperincikan amat memikat dan lebih menyenangkan lagi ia ditulis dalam bentuk fiksyen tetapi maklumat (fakta-fakta) yang diselit membantu pembaca kembali ke zaman peristiwa tersebut ditulis berserta dialog-dialog bersama-sama penduduk tempatan yang bersahaja dan terasa dekat di hati. Bagus bagi penulis fiksyen sejarah. :) meskipun, sudah tentu ada banyak bahagian yang tidak menyenangkan hati kita pada hari ini mengenai tanggapan 'penjajah' pada waktu tersebut terutama sekali tentang kemunduran serta kedaifan masyarakat tempatan. Namun, itulah sejarah yang harus drenungi banyak kali.

Sementara bagi penikmat sejarah pastinya menghargai buku ini. Meskipun ia ditulis dari sudut pandang orang asing namun setidak-tidaknya Sabah yang kaya dengan budaya dan kepelbagaian etnik masih menyimpan rakaman sejarahnya tersendiri. lebih elok lagi jika ada usaha untuk menterjemah buku-buku seumpama ini ke dalam bahasa Melayu.  Sudah ada usaha  yang dilakukan oleh UMS-ITBM menerusi penerbitan usahasama siri Etnik Sabah ITBM-UMS, namun saya fikir ia masih belum mendalam dan harus diperbanyakkan lagi menerusi penulisan semula dalam bentuk fiksyen atau bukan fiksyen dan penterjemahan. Saya fikir tiga bua buku Agnes Keith berpotensi diterjemah dan dijadikan rujukan generasi baharu, termasuk buku Alliston.

*
Buku ini saya beli  dalam bentuk fotokopi. Bukan kerana murah (sebenarnya jauh lebih mahal) tetapi kerana ia tidak diterbitkan lagi, naskah terhad. Ia menjadikan buku ini lebih bernilai dan berguna *


Salam hormat

RM

Comments

Popular posts from this blog

biodata ruhaini matdarin

Novel Jendela Menghadap Jalan - sebuah trivia; bahagian 1

Hari-Hari Terakhir di Jesselton