buku menjana kekayaan malar segar



"Cahaya matahari yang bersinar pada hari ini adalah cahaya yang sama bersinar pada hari ayah kita dilahirkan. Ia akan tetap bersinar apabila keturunan kita yang terakhir meninggal dunia" - Algamish, antara lelaki terkaya di Babylon. 


Daripada sederetan buku-buku bukan fiksi yang berbentuk motivasi, panduan pengurusan kekayaan serta kaedah menjana pendapatan terdapat satu buku yang melekat dalam fikiran saya meskipun ia telah ditulis sejak lama dahulu oleh George S.Clason. Barangkali nilai sentimental dalam buku ini yang menarik perhatian, lebih-lebih lagi latarnya pada zaman Babylon. Ruang lingkupnya masih berfokus terhadap raja-raja, emas, dewi tuah, tembok-tembok tinggi kota, rumah-rumah tembikar, pedagang unta, tanah-tanah liat dan kuil-kuil purba. Bukan kisah bagaimana poket boleh terisi dengan wang sepanjang masa yang dipaparkan dalam buku ini yang memikat saya - kerana zaman kita sekarang sudah ada buku-buku 'Menjadi Kaya' temporari misalnya buku-buku Robert T.Kiyosaki, Philip Kotler dan John C.Maxwell, yang jauh lebih urban dan mudah dikaitkan dengan keadaan semasa. 

Akan tetapi buku ini tetap malar segar kerana panduan yang diberikan masih relevan. Bahagian paling menarik dalam buku ini tentu sekali cara-cara mengatasi poket kering. Watak Arkad - manusia paling kaya di Babylon - telah memberikan panduan kekayaan di hadapan seratus orang manusia yang dipilih oleh Penasihat Diraja di Dewan Besar Temple of Learning untuk mendengar ceramah Arkad. 

"Pada suatu masa dahulu, saya adalah seorang anak muda yang mengimpikan emas. Oleh kerana saya sudah menemui ilmu yang membolehkan saya mendapatkan emas, raja meminta saya menurunkan ilmu yang saya miliki kepada kamu semua. kekayaan saya bermula dengan cara yang sederhana. Saya tidak me,punyaiapa-apa. Saya juga tidak gembira seperti kamu dan seluruh rakyat Babylon. Gudang kekayaan pertama saya adalah sebuah dompet yang elok. Saya ralat apabila melihat dompet itu kosong. Saya mengimpikan dompet itu menjadi kembung dan bergemerincing dengan bunyi emas. Oleh itu, saya mencari setiap penawar bagi merawat dompet yang kempis itu. Saya sudah menjumpai tujuh cara merawat dompet yang kempis."

Penawar pertama: Kumpul wang.
Penawar kedua:Kawal perbelanjaan.
Penawar ketiga: Gandakan emas.
Penawar keempat: Pelihara harta daripada kerugian.
Penawar kelima: Jadikan tempat kediaman sebagai pelaburan yang menguntungkan.
Penawar keenam: Jamin pendapatan masa hadapan.
Penawar ketujuh:Tingkatan keupayaan memperoleh pendapatan.

Buku ini enak dibaca dengan secawan kopi semasa mendengar harga emas jatuh, ringgit menyusut dan sambil membuat pertalian dengan tips-tips yang diberikan dalam buku Increase Your Financial IQ dalam buku tulisan Robert T.Kiyosaki pada bahagian 'Membajet wang' - kita tidak harus hidup di bawah paras kemampuan sehingga ke akhir hayat dan jangan sesekali membiarkan predator wang terus mengawal wang kita. 

****

Saya menduga Anthony Robbins, Stephen Mihm serta seluruh senarai panjang penulis buku motivasi meningkatkan kemampuan diri pastinya telah khatam membaca buku The Richest Man In Babylon sepertimana seorang pencinta sastera yang harus membaca karya-karya besar sasterawan dunia. 

Salam hormat
RM


Comments

Popular posts from this blog

biodata ruhaini matdarin

Novel Jendela Menghadap Jalan - sebuah trivia; bahagian 1

Hari-Hari Terakhir di Jesselton