Daya khayalan dan bakat tidak pernah cukup (1) SUNTIK 4/2020

Sebelum membaca cerpen-cerpen yang disiarkan dalam tiga akhbar: Utusan Borneo, New Sabah Times dan Daily Ekspress, dengan kerjasama DBP Cawangan Sabah dan SUNTIK, bagi siri SUNTIK 4/2020 lalu, saya membayangkan mutu cerpen penulis negeri ini semakin baik.

Semasa membaca, batuk-batuk kecil saya menjadi bertambah serius. Kita sudah berada pada tahun 2020 dan saya teringat akan cerpen-cerpen India tahun 70-an, sebahagian daripada tulisan cerpenis negeri ini membawa saya kepada kualiti penulisan penulis India empat dekad lalu. Adakah ini sesuatu yang baik?

Setelah membaca, saya mendapati kita masih mengulangi pencapaian yang lalu-lalu. Kita menulis kerana ingin membebaskan daya khayalan dan mengasah bakat. Ini sama sekali tidak salah. (Orang Sabah bilang, ndak juga ditangkap polis bah gaman)

Secara keseluruhannya cerpen sepanjang bulan Mac 2020 seimbang. Memandangkan ini program apresiasi - bermaksud pandangan penilaian saya tidak menggambarkan pandangan seluruh penikmat sastera lainnya - saya mencari cerpen yang sedap, tak perlu luar biasa, cukup sedap dan seimbang. Mujurlah ada cerpen yang menepati kriteria penilaian.

                                                                       ***


Sebelum, semasa dan selepas membaca cerpen-cerpen tersebut saya menemui kecenderungan lama cerpenis negeri ini, daya khayalan dan bakat tidak diseimbangkan dengan penggunaan peralatan sastera yang ada sehinggakan nilai kreativiti itu-itu juga. Saya mendapati niat murni para cerpenis mengungkapkan idealisme tetapi ada yang kurang berjaya. Ambil contoh begini .... kita hendak berjalan kaki 10 kilometer tetapi berhenti setakat 4 kilometer kerana kapus-kapus bilang orang Sabah dan berpatah balik, lebih teruk lagi, dalam perjalanan pulang sebab kurang stamina, eh! Sesat pula ....

Kurangnya pembacaan, saya fikir ini punca utama kenapa cerpen-cerpen yang ditulis dengan bakat dan daya khayalan itu kurang memikat. Semasa dan selepas membaca cerpen teman-teman cerpenis, ada beberapa buah buku cerpen yang muncul dalam fikiran saya. Ini antara buku yang saya sarankan untuk cerpenis yang karya mereka disiarkan pada bulan Mac 2020 lalu.


1. ULAR DI TILAMKU, S.M ZAKIR

Untuk perhatian Edward Solibi, penulis cerpen Cerita Tentang Rumah Yang Tenggelam Menjadi Tasik, New Sabah Times, 15 Mac.


2. TARI PASAR PEREMPUAN, FAZLEENA HISHAMUDDIN

   Untuk perhatian Olie Chong dan Nursyafiqah Roslan


3. SEPASANG SEPATU TUA, SAPARDI DJOKO DAMONO

Untuk perhatian Haniff Yusoff, penulis cerpen Alegori Cempedak Goreng, Harian Ekspress, 8 Mac.


4. STRANGE PILGRIMS, GABRIEL GARCIA MARQUEZ

 Untuk perhatian semua teman cerpenis 


5. BLIND WILLOW, SLEEPING WOMAN AND OTHER STORIES, HARUKI MURAKAMI

  Untuk perhatian Edward Solibi dan Sabran Kibong



Sebetulnya ada banyak lagi kumpulan cerpen yang baik di luar sana tetapi ini antara judul buku yang melintas dalam benak saya ketika dan selepas membaca cerpen teman-teman. Saya berkata begini semasa membaca cerpen yang ditulis cerpenis wanita misalnya"oh! kalau dia buat macam Fazleena tulis dalam cerita Temasya Makan Malam dalam buku cerpen dia tu, mungkin cerpen ini akan jadi jauh lebih baik ....' ini contoh sahaja. Kita harus lebih banyak membaca untuk mengembangkan daya khayalan kita (yang kita fikir baik itu) agar lebih menyakinkan pembaca. Saya fikir kalau kita hendak menghidupkan cerita, kita sebagai penulis harus hidup terlebih dahulu (peringatan untuk diri sendiri).


                                                                        ***

Bersambung ....


Comments

Popular posts from this blog

biodata ruhaini matdarin

Novel Jendela Menghadap Jalan - sebuah trivia; bahagian 1

Hari-Hari Terakhir di Jesselton