Ke rumah ingatan


Buku-buku awal saya tidak pernah saya sebut di mana-mana, juga di dalam blog ini kerana saya tidak mempunyai ingatan yang baik tentang mereka. Tetapi Internet memberitahu mereka wujud. Setelah berunding dengan diri sendiri, saya ingin berbicara tentang mereka serba sedikit.

Dahulu, kecenderungan saya melepaskan tekanan belajar ialah dengan menulis tanpa terikat dengan syarat-syarat bagaimana menghasilkan sebuah karya yang baik (bahkan saya tak tahu pun). Saya tulis dalam komputer (14 tahun lalu komputer besar gedebak oiii) saya cuma menulis dan tinggalkan mereka dalam disket (banyak yang hilang akibat trojan) atau di mana-mana saja tanpa terfikir ingin menghantarnya ke mana-mana penerbitan.

Hendak dijadikan cerita, pada suatu hari (pagi rasanya, hari Khamis) pemilik rumah penerbitan Ghost Writer menelefon saya dan memaklumkan bahawa beliau telah menerima manuskrip yang saya hantar (Ah??) dan bersetuju menerbitkan. Oh ok! Saya jadi pelik. Seminggu kemudian teman serumah saya (rumah sewa waktu belajar) beritahu beliau yang menolong saya hantar manuskrip (5 semuanya!) saya pada waktu itu tidak ingat pun tajuk (mungkin ada manuskrip belum ada judul dan belum siap sangat pun) kerana beliau rasa seronok membaca tulisan saya (tulisan budak-budak mentah) pada waktu itu dan kebetulan beliau peminat tegar Ahadiat Akasah tetapi beliau tiada bakat menulis. Dalam hati saya kata; ini tentu menyeronokkan tetapi saya berasa biasa-biasa saja kerana pada saya semua manuskrip itu umpama latihan.

Saya katakan saya tidak mempunyai ingatan mengenai mereka kerana setelah terbit, saya tidak menerima sesen pun bayaran, apatah lagi naskah penulis. Kebetulan, beberapa bulan selepas buku-buku itu terbit, saya berpindah alamat, pulang ke Kota Kinabalu dan menukar nombor telefon. Sedangkan teman serumah saya menggunakan alamat rumah sewa kami. Beberapa teman saya berkata (sebenarnya merungut) terlalu banyak kesilapan teknikal pada buku-buku tersebut. Tiada suntingan. Tiada pembetulan fakta. Saya tidak menjawab kerana itu bukan salah saya. Tetap saja sampai sekarang saya mengiktiraf buku pertama saya ialah Gadis Adikara kerana saya menulisnya lebih awal daripada semua manuskrip yang diteritkan oleh GW, beberapa tahun lebih awal.


Percaya atau tidak, sehingga kini, 15 tahun rasanya, saya belum pernah membaca buku-buku tersebut (kecuali Rumah Sewa, itu pun dihadiahkan oleh arwah ibu saya yang terserempak dengan buku itu di kedai buku. Saya berasa jauh daripada mereka persis mereka anak luar nikah tetapi sejak beberapa bulan kebelakangan ini pintu hati saya terbuka untuk mencari mereka di kedai buku lama atau membeli secara terus dari talian. Membaca mereka, rasa ingin menangis. Saya kini telah jauh dewasa. Semoga ada kesempatan buat saya menekuni mereka kembali dan mencari cara mengeluarkan mereka dari ruang sempit yang penuh kelemahan dan kesilapan (telah pernah saya lakukan menerusi buku Pesona Sandora yang saya ubah suai dari buku asal Rumah Sewa), atau setidak-tidaknya selepas ini saya akan menyebut mereka di depan khalayak supaya mereka tidak berkecil hati.

(Yunsunmiey Natalia, Slam Dunk, Bintang Jatuh, Rumah Sewa dan Antara Dua Fantasi), hairan betul saya pada diri sendiri, dari mana saya mendapat keyakinan atau ilham menulis mereka lebih sedekad lalu? Saya akan membongkar ingatan saya tentang hal ini dalam tulisan saya di lain waktu.


*Pesanan untuk adik-adik (terutama bakal penulis) yang tinggal beramai-ramai dengan teman di bawah satu bumbung rumah sewa, jangan biarkan komputer peribadi anda tanpa privasi*



Salam hormat.

RM



Comments

Post a Comment

Popular posts from this blog

biodata ruhaini matdarin

Novel Jendela Menghadap Jalan - sebuah trivia; bahagian 1

Hari-Hari Terakhir di Jesselton