lagi lagi tentang buku

1. Saya suka idea novel tulisan Yangsze Choo dalam The Ghost Bride. Latar masa dan tempatnya, serba kena dan lebih-lebih lagi ia membawa satu tema yang jarang diterokai oleh pengarang berbangsa Cina (Malaysia) di luar negara. Novel ini novel budaya. Keseronokan membaca novel seumpama ini, ia banyak bermain dengan perspesi dan emosi.

2. Selepas habis membaca novel Sahidzan Salleh - Pada Waktu-Waktu Yang Terhapus, saya memandang kucing hitam dengan cara yang berbeza berbanding sebelumnya. Walaupun elemen dalam novel ini pada kebanyakan tempat dapat diteka hasil pengaruh kepengarangan (sebab Sahidzan juga pembaca tegar, selain suka menonton filem, saya teka) beberapa orang pengarang antarabangsa, namun ia tetap memberi nikmat pembacaan yang menyenangkan.

3. Novel Pohon Emas karya Wahba bermula dari cerpen. Dipanjangkan menjadi novel, meskipun masih nipis namun perlu waktu (menghadam) yang agak lama juga buat saya menghabiskan pembacaan. Penerbit melabel buku ini sebagai novel fantasi Islamik. Mungkin juga ia fantasi namun isu yang diketengahkan terasa ada di mana-mana. Wujud dan benar.


****

Pada kesempatan entri ini, saya nak juga bercakap mengenai buku sendiri, kan.



Kumpulan cerpen Bulan Tenggelam Dalam Perahu. Terbitan DBP 2015 (saya pernah berharap ia diterbitkan pada tahun 2016 supaya buku cerpen saya Jenaka Si Darah Legenda dapat bernafas di tahun 2015) :)

Ada 21 buah cerpen. Ditulis sepanjang tahun 2011 dan 2012. Kebanyakannya cerpen yang belum disiarkan di akhbar atau majalah. 


Saya belanja sikit petikan dari cerpen Coelho

ARISTOTLE bertemu dengannya ketika dia dalam perjalanan menunggang kuda menuju ke kota yang tiada nama itu, sebuah kota yang ditinggalkan tamadunnya hingga habis pupus bahasa dan budayanya, hanya yang tinggal papan-papan tanda dalam bahasa penjajah. Dilihatnya Aristotle sedang duduk di bawah pokok nangka, sedang menulis sesuatu di permukaan skrol bulu kambing kering yang kelihatan tidak ubah seperti baju yang pernah diperagakan Kate Moss di London Cat Walk beberapa tahun lalu. Di mana aku?

Mengapa aku berada di tempat ini? Dia melompat turun dari belakang kuda hitam yang menyeringai padanya, sebaik sahaja dia turun kuda itu pun berlari kencang menuju ke langit, sebelum kuda itu menghilang entah ke lapisan langit ke berapa, dia melihat sepanduk bergantungan di awan-gemawan yang tertulis Bahasamu Telah Mati, sepanduk yang satu lagi tertulis: Hari Ini Sahaja Ada Seratus Ribu Bahasa Telah Mati. Dia mengecilkan skop matanya dan berjalan ke bawah pokok nangka dan mendekati Aristotle yang tetap khusyuk dengan skrol bulu kambingnya.

"Maafkan saya ..." Dia bersuara sambil menggaru kepalanya kerana kehairanan. "Tuan yang dikagumi dalam sejarah."

"Kali terakhir seorang pemimpin persatuan datang ke sini bertanya bagaimana dia harus mengekalkan pengaruhnya, dia telah aku usir."

"Saya pekerja stesen minyak." Dia berbohong, yang sebenarnya dia seorang guru bahasa Melayu. "Dan saya tidak pernah menyertai mana-mana persatuan, semua itu bullshit!"



Bagi mendapatkan buku ini, boleh dibeli di sini .... http://bukudbp.com/products/kumpulan-cerpen-bulan-tenggelam-dalam-perahu


Salam hormat.

RM


Comments

Post a Comment

Popular posts from this blog

biodata ruhaini matdarin

Novel Jendela Menghadap Jalan - sebuah trivia; bahagian 1

Hari-Hari Terakhir di Jesselton