Memori mengenai Jendela Menghadap Jalan






Memori ketika menulis novel ini agak kabur dalam ingatan saya tetapi ia ditulis semasa arwah ibu masih di sisi. Sepuluh tahun sudah berlalu. Saya memulakan kerja-kerja mengarang naskah awal novel ini pada pertengahan tahun 2007, tanpa sebarang hasrat hendak menghantarnya ke mana-mana penerbitan. Namun dorongan utama saya untuk terus meneruskannya apabila saya membaca novel Sally Morgan berjudul My Place - sebuah novel lama pengarang Australia. Kini, saya tidak lagi mengingati akan plot buku tersebut namun saya sentiasa mengenang akan keindahan langgam bahasanya. 

Pada hari ini, novel ini dikaji oleh para pelajar di empat buah negeri (Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak) saya juga tidak pernah berhasrat novel ini menjadi bahan kajian sepertimana saya tidak menyimpan keyakinan tinggi ketika menghantar manuskrip novel ini kepada sekretariat Hadiah Sastera Kumpulan Utusan bagi tahun penilaian 2008. Sehinggalah pada suatu hari, pada penghujung bulan Februari atau awal Mac 2009 (rasa-rasanya) Encik Rozlan Mohammed Noor (beliau telah menyeberang sempadan ke ITBM) menghubungi saya, meminta naskah lembutnya dan menyuruh saya berahsia. Beberapa bulan kemudian, pada bulan Jun, saya hadir ke majlis penyampaian hadiah di Istana Budaya. Menjadi pemenang tempat kedua dan di hadapan saya adalah Sri Rahayu.

Seorang kenalan saya 'menegur' mengenai plot novel ini, katanya terlalu banyak yang hendak saya sampaikan. Rasanya seperti saya hendak meletupkan emosi pembaca. Ada cerita tentang kubah. Ada cerita tentang jendela. Kes sosial rumahtangga. Apa yang sebenarnya hendak saya sampaikan? Jawab saya; jika kita hendak mengangkat isu dalam sebuah masyarakat, walau sekecil apa sekalipun, ia tidak pernah tunggal, selalu plural. bercambah, membiak dan tidak pernah habis. Dia membidas: Tumpukan cuma satu, Buat satu-satu. Nasihatnya saya hargai. 

Hari ini, saya cuba mengenang hal-hal yang berada di sekeliling saya ketika saya menukang manuskrip novel ini dan saya menemui ingatan tentang Kungfu Panda, Yasmin Ahmad, Lenka, Bird Thongchai, Influenza serta Ironman. Ironinya, tiada satu pun yang berkaitan dengan novel Jendela Menghadap Jalan, mereka hanya menemani saya, berlegar-legar sebagai peristiwa sekeliling. Apabila saya mendengar semula lagu yang kerap saya putarkan ketika menulis naskah Jendela Menghadap Jalan, iaitu Trouble is a friend, saya mendapati perasaan itu telah jauh berbeza. Meskipun lirik dan melodinya tetap sama. 


Namun demikian, Jendela Menghadap Jalan adalah pembuka jalan buat saya - secara halus ke dunia sastera, lebih serius. 

naskahnya masih boleh dilihat dan dibeli di sini .... http://www.mybooks.com.my/index.php/kedai-buku/hadiah-sastera/411/jendela-menghadap-jalan-detail


Salam hormat.

RM


Comments

  1. tumpang tanya, apakah sebenarnya tema yang hendak diutarakan? sebab terdapat perbalahan dan kupasan yang berbeza tentang tema novel ini. Terima kasih. Tujuan saya bertanya adalah untuk menjelaskannya kepada anak murid saya.

    ReplyDelete
  2. Assalamualaikum, terima kasih atas pertanyaan. Semasa saya menukang naskah ini saya tidak memikirkan secara terperinci mengenai temanya. Tetapi apabila telah siap dan membacanya sekali lagi ketika masa sudah lama berlalu, saya percaya temanya menjurus ke arah kekeluargaan dan kemasyarakatan. Semoga maklum balas dari saya dapat membantu.

    ReplyDelete
  3. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular posts from this blog

biodata ruhaini matdarin

Novel Jendela Menghadap Jalan - sebuah trivia; bahagian 1

Karya paling lama saya tukangi