Karya paling lama saya tukangi

 Di antara ruang waktu menulis buku Cerpen Melawan Yang Mustahil, saya sebenarnya telah memulakan kerja-kerja mengumpul bahan untuk menulis sebuah manuskrip - yang pada ketika itu, sekitar pertengahan tahun 2012 sehingga awal 2013, belum lagi saya tentukan hala tujunya, sama ada ia akan menjadi novelet seperti RACUNDA (terbitan BAHASA 2010) atau menghimpunkan beberapa puluh cerpen yang auranya (atau kegilaan) menyamai cerpen Yang Aneh (yang disenaraikan dalam antologi Istana Cinta Ayah (DBP 2009)- Pemenang Sayembara Mengarang Cepen Sempena 50 Tahun Merdeka, yang di dalamnya ada SN Shahnon Ahmad juga sebagai antara pemenang (ah! indah betul!) 


Kulit buku yang anda tatap sekarang tertera judul Seteru Dalam Keheningan, judul-judul lainnya sudah terkubur dalam ingatan saya akibat kerap diubah, ditinggalkan, didatangi lagi, diubah lagi, didatangi lagi, sampai ke proses saya benar-benar duduk menulis dengan serius sekitar tahun 2017 sehingga 2019. Manuskrip ini siap 70-80 peratus tetapi saya tinggalkan lagi kerana saya fikir, ia HARUS diperam lagi. Proses ini melibatkan rombakan plot besar-besaran hinggakan ia tidak mempunyai pembahagian bab sewaktu benar-benar sudah siap dan saya ajukan kepada Tauke Nusa Centre, Sdr SM. Zakir pada awal Januari 2022.


Saya merenung karya-karya saya sebelum ini, dengan perasaan seperti tercekik biji nangka. Lalu, saya bertanya kepada diri sendiri, bilakah waktunya seorang pengarang itu akan benar-benar berasa puas dengan hasil kerjanya? 

Saya masih belum puas tetapi inilah karya yang paling lama saya tukangi dan berhasil siap, akhirnya. Bakal menemui pembacanya. Saya tidak berharap ramai yang akan menikmati, sastera di Malaysia ini seputar kefahaman moral, jadi, saya tidak meletak harapan besar ramai yang akan faham, tetapi menikmatinya dari pelbagai perspektif untuk faham. 


PS; Alamak, saya ada beberapa buah buku lagi yang sudah terbit dengan DBP pada tahun 2021 dan 2022. 



Comments

Popular posts from this blog

biodata ruhaini matdarin

Novel Jendela Menghadap Jalan - sebuah trivia; bahagian 1

Hari-Hari Terakhir di Jesselton