Night, memoir seorang anak Yahudi yang terselamat daripada Nazi

Buku ini asalnya ditulis dalam bahasa Perancis, terbit pada tahun 1958, 13 tahun selepas pengarangnya Elie Wiesel bebas daripada maut Perang Dunia ke 2. Pada tahun 1960 buku ini diterjemah ke bahasa Inggeris lalu menjadi buku laku keras seluruh dunia dan pada ketika itu beliau berusia 32 tahun. Saya membaca buku ini kali pertama pada tahun 2009 yang diterjemah oleh Marion Wisel. Dan, membaca kali kedua dalam terjemahan Bahasa Indonesia yang diterjemah oleh Marianne Katoppo pada tahun 2013. Saya membacanya sekali lagi pada tahun 2021 kerana dunia Islam digegarkan oleh serangan Zionis di Gaza pada sepuluh Ramadan akhir. Pada tahun 1986 Wiesel dianugerahkan Hadiah Nobel Keamanan. Saya tertanya-tanya, selain Talmud, apakah Yahudi membaca lebih daripada sekali akan buku yang bagus ini? Kerana ia menyampaikan kesakitan orang Yahudi selama Perang Dunia Ke 2, dicengkam oleh kekuasaan Nazi Jerman. 


Gambaran Wiesel tentang manusia membunuh, menyiksa, memakan manusia sendiri bukanlah tulisan baharu kerana sudah sering terjadi sepanjang sejarah manusia. Kita ini Homosapiens, kita pemburu, kita akan menghapuskan sesiapa yang mengancam kita. Nazi melakukan penghapusan secara teratur, ia datang dengan satu ideologi dan gagasan unggul dipimpin Hitler dengan menggunakan gas beracun, pada waktu itu ia cukup canggih - bayangkan ia tungku-tungku bakar moden - sehingga mampu membinasakan berjuta-juta orang Yahudi, bukan sahaja di Jerman tetapi di Eropah. Yahudi hidup dalam dunia kegelapan. Hitler melenyapkan orang Yahudi dari seluruh daerah taklukannya, persoalannya, mengapa? Anda baca sejarahnya.
Dan, buku ini ditulis berdasarkan pengalaman Wiesel sendiri ketika dia dan keluarganya dihantar ke kamp konsentrasi Jerman di Auschwitz dan Buchenwald pada masa Perang Dunia ke 2. Usianya 16 tahun pada ketika itu. Setelah bebas pada tahun 1945 Wiesel jadi pendiam, dia membisu selama 10 tahun dan melupakan tuhan serta menolak tuhan serta seluruh manusia yang masih mempunyai keimanan terhadap tuhan. Akan tetapi, ketika dia menulis buku laku kerasnya ini dia menulis dengan bahasa bersahaja seperti orang menulis diari. Barangkali selepas sedekad dia berjaya menenangkan diri dan mengenang setiap peristiwa sebagai pengalaman biasa kerana ia turut dialami oleh berjuta-juta orang Yahudi lainnya. Buku ini bercerita tentang kebuasan, keganasan, penyiksaan fizikal dan mental setiap hari dilakukan Nazi, sehinggakan setiap tahanan hanya memikirkan bahawa mendapat air minuman dan sepotong roti sudah satu nikmat luar biasa bagi meneruskan hidup. Berhasil mengelak maut, itu satu mukjizat. 

Dan, sekarang kita melihat Yahudi menguasai dunia. Mereka menguasai banyak bidang, perbankan, teknologi, fesyen, produk konsumer, dan anda namakan apa sahaja, senarainya akan menjadi panjang. Yahudi bertebaran di muka bumi. Mereka tidak henti-hentinya mencuba kembali ke Eretz Israel - ke tanah orang Palestin. Selebihnya, kita menyaksikan perang yang bagaikan tiada titik penamatnya di tanah Arab. Apakah orang Yahudi sudah lupa pengalaman buruk mereka yang begitu dahsyat dahulu? Apakah kerana kini mereka memiliki senjata dan besekutu dengan kuasa besar dunia, lantas mereka melawan berbagai negeri di tanah Arab dan selalu memang, lalu lupa asal usul? Apakah pengalaman lampau mereka menukar mereka menjadi Nazi lalu merampas hak-hak kemerdekaan orang Palestin? 

Setiap orang Yahudi wajib membaca buku Night tulisan Elie Wiesel. Wajib membacanya lebih daripada sekali. Sebab, mereka akan melihat bagaimana perasaannya ketika mata anak-anak kecil Palestin menyaksikan gulungan-gulungan asap hitam melayang di udara, menjulang tinggi dari kawasan pengeboman, di tempat bayi yang berhenti menangis serta ibu yang memeluk bayinya dan tidak berkutik lagi, tutup usia sebelum sempat menyediakan makan malam buat keluarga, ketika peluru menembusi dinding dan bumbung rumah mereka. Ayah yang dalam perjalanan pulang patah kaki, atau ditusuk serpihan bom dengan membawa makanan kesukaan anak-anak, nyawa begitu saja diambil. Saya membaca buku ini dengan fikiran terbuka, saya juga membaca buku-buku pengarang Yahudi lainnya. Saya bersimpati terhadap mereka. Hanya orang-orang yang terluka oleh masa lalu yang akan bertindak ganas. Hanya orang-orang yang tidak memiliki apa-apa yang hendak dimilikinya akan merampas, membunuh dan buas. Mereka tidak kuat dan canggih. Mereka cuma bangsa yang banyak luka dan berusaha menutupi luka mereka dengan melakukan hal yang sama terhadap bangsa Arab - Palestin - untuk merawat luka sendiri. 


Salam hormat RM

Comments

Popular posts from this blog

biodata ruhaini matdarin

Novel Jendela Menghadap Jalan - sebuah trivia; bahagian 1

Hari-Hari Terakhir di Jesselton