YANG MENDEKAT DAN MENJAUH

 Manuskrip novel ini saya mulakan lebih awal daripada Hari-Hari Terakhir di Jesselton. Awal beberapa bulan tetapi tidak saya sudahkan kerana hilang momentum (pada ketika itu), anda yang pernah membeli dan membaca novel tersebut pasti mengetahui tahun terbitnya ialah pada 2018. Novel Yang Mendekat dan Menjauh ini saya mulakan sejak pertengahan tahun 2015, siap sepenuhnya pada 2017. Terbit 2020.


Ingatan saya ketika menukangi novel ini sudah kabur. Akan tetapi, saya mengingati teks rujukan yang membantu saya menyudahkannya - buku-buku langka dan obsesi terhadap Agnes Newton Keith - saya mengumpul semua buku-bukunya dan menghafal catatan kembaranya di Borneo Utara sehinggalah perang meletus. Saya pergi melawat rumahnya di Sandakan dan membayangkan saya hidup pada zamannya. Sudah tentu, ia sukar memasuki, menyalin dan menyuntik semangat zaman yang terdapat dalam novel ini, saya sedar bahawa satu-satunya hal yang perlu saya titik beratkan ialah kekuatan gambaran watak serta latar masa. Mujur buku Oscar Wilde (ralat: Saya salah letak nama, bukan Oscar Wildes tetapi Oscar Cook) itu. 


Ini novel terakhir (mungkin) bergendre fiksyen sejarah dan nostalgia, terlalu lama bergantung dengan pengucapan yang kita berasa selesa - ia akan memualkan orang dan menyusahkan pembaca (kalau ada) - kerana saya telah beralih ke fasa lain, mencari pengucapan lain, kerana saya sendiri sudah berasa bosan dengan tulisan saya. 



Novel ini 'meriah' dengan warna lokal. Saya mengambil semangat novel-novel Leo Tolstoy. Dosa saya mungkin saya tidak hidup pada zaman cerita, tetapi bukankah sejarah dan nostalgia merupakan pengulangan-pengulangan yang tidak pernah habis-habisnya?Bezanya cuma ruang waktu. 


Salam hormat.'


RM





Comments

Popular posts from this blog

biodata ruhaini matdarin

Novel Jendela Menghadap Jalan - sebuah trivia; bahagian 1

Hari-Hari Terakhir di Jesselton