Cerita Tentang Sahabat dan Cintanya Yang Luar Biasa

 Ini cerita kawan saya .....

cinta dapat tumbuh di segala tempat, termasuk di dalam gelap

dan cinta yang tumbuh di dalam gelap juga memberikan hidup - Norman Erikson Pasaribu


Kawan saya tidak gemar pada perkongsian. Saya masih ingat dahulu dia pernah memberitahu, manusia sepertinya harus mencintai seseorang yang tak punya orang tua, keluarga, teman, bahkan haiwan belaan, agar seluruh hidup dan tumpuan diberikan kepadanya. Tapi saya bilang, sekiranya 'seseorang' itu dilahirkan oleh batu dan dirawat oleh pohon-pohon, saya juga mahu dicintai oleh seseorang seperti itu. Seperti cermin, seperti bayang-bayang ..... 


Kawan saya kuat curiga dan cemburu. Saya juga begitu (sifat ini penting untuk berjaya). Tapi kami mencintai orang yang mempunyai orang tua, kawan-kawan (yang datang lebih awal daripada kami), masa lalu yang kencang, mantan-mantan yang selalu muncul dalam memori mereka, serta, impian (yang kami tidak dimasukkan ke dalamnya, ini sedih dan sekali gus boleh jadi punca perang). Ini bermakna, pada bila-bila masa dia (saya) akan disingkirkan dari senarai pilihan. (PILIHAN, bukannya keutamaan) hidup orang yang disayangi. (Sengaja saya mengandingkan diri saya dengannya supaya dia tidak berasa sunyi) 


Kata kawan saya, cinta sama seperti serai, wangi ketika dalam tangkai tetapi apabila layu, pesonanya hilang. Ya, kawan saya seorang pemikir. Fikirannya aneh-aneh setiap kali berbicara tentang cinta. Padahal dia seorang yang pintar, dapat tajaan belajar sampai ke luar negara dan kini menjawat jawatan baik yang dikagumi, juga dicemburui ramai orang. Dia  pernah curiga mantan kekasihnya bercinta, atau jatuh cinta (saya kurang ingat) dengan sahabat baiknya sendiri, yang juga merupakan ipar duainya (saya kurang pasti, apakah dari pihak saudara lelaki atau perempuan). Layanan dan keutamaan berlebih-lebihan yang diberikan oleh mantan kekasihnya terhadap sahabat baiknya itu, menjadi punca hubungan mereka berakhir. 


Satu hari, seingat saya Selasa, kawan saya menghubungi. Katanya dia mahu berlayar ke belahan dunia yang tiada sesiapa dapat menemuinya. Apakah dia merencanakan kematiannya? Saya teringat akan kisah tetangga mengantung diri sewaktu berkhidmat di luar negara, beberapa tahun lalu. Ulah semua penyakit jiwa ini adalah cinta, masalah kewangan dan kurangnya motivasi hidup. Saya beritahu dia, hidup ini memang sepi kawan, dan saya hamburkan pesan arwah Emak saya kepadanya, bahawa kita tak akan selama-lamanya menongkat langit. Bertabahlah, walaupun sakit.


Wujudkah teknologi menghapuskan kebodohan akibat cinta? Dia bertanya. Saya bilang, tak ada kawan, mungkin kau boleh mencuba memanjat bumbung bangunan, terjun dan pastikan mati. Tapi kawan, apa yang akan kau hujahkan di depan malaikat dalam kubur kelak? Dia memadam seketika rasa bodohnya dengan kembali ke tabiat lamanya 'minum' dan menjadi penagih nikotina. Saya fikir, hal itu sedikit membantu tetapi tak lama, kerana seperti maut, cinta merupakan takdir yang tak boleh kau tolak. 


Kini, kawan saya menulis puisi yang dibacakan di depan 14 ekor kucing parsi. Menonton Netflix di hujung minggu dan berpuasa pandangan. Membeli buku-buku tentang alam kematian dan secara senyap-senyap belajar mengaji di masjid negeri dengan seorang wanita, yang suatu masa dahulu pernah menjadi musuh ketatnya kerana berebut cinta yang sama. 


Saya masih gagal menulis ceritanya dalam bentuk fiksyen. Saya takut, saya akan turut sama membuka cerita diri sendiri ...... 








Comments

Popular posts from this blog

biodata ruhaini matdarin

Novel Jendela Menghadap Jalan - sebuah trivia; bahagian 1

Hari-Hari Terakhir di Jesselton