Hal-hal seputar persepsi


1). Saya kembali menonton filem-filem Malaysia (lebih sedap disebut Malaysia berbanding filem Melayu) setelah ketiadaan Yasmin Ahmad, sejak akhir-akhir ini untuk mengubah semula sudut pandang saya mengenai persepsi 'Filem Melayu itu-itu juga' sejak dekad filem-filem hedo-cul-sos bikinan Abdul Razak Mohaideen. Ternyata kita bagus kerana kita mempunyai sederetan pengkarya yang cakna mengenai wajah masa hadapan filem Malaysia, bukan sekadar memenuhi selera pop semasa.

 Kabir Bhatia, Dain Said, Liew Seng Tat dan Chiu Keng Guan, antara pengkarya yang saya handalkan dalam menghidangkan sesuatu yang menyelerakan untuk pengisian jiwa dan minda dalam beberapa aspek ketika menikmati sebuah karya di layar perak. Al-maklumlah, sejak usia bertambah, kehidupan sosial saya juga menuntut saya untuk menjadi bijak menikmati apa jua karya, baik buku, filem, lagu serta benda-benda yang masuk  ke dalam perut. You know you're middle aged. 



2). Terdapat ratusan jenama ubat gigi di pasaran (global), mengapa apabila kita pergi ke pasar raya, kita sering menanam dalam fikiran kita untuk membeli Colgate untuk merujuk ubat gigi, padahal kita membeli Darlie atau Parodontax akhirnya? PERSEPSI kita yang membuat tindakan. Berkenaan hal ini saya teringat tentang seorang sahabat dekat (pernah dekat) yang berkisah mengenai seorang (manusia yang pernah dekat dengannya) hal-hal berkenaan soal hati yang saya faham sepenuhnya memerlukan campur tangan waktu dan tuah tetapi beliau sejak awal-awal lagi meletak persepsi bahawa  'this is not gonna end well!' atau 'this is not gonna happen!' dan akhirnya persepsi kurang sihat itu melemahkan tindakannya dan membenarkan apa-apa yang telah difikirkannya padahal ketika saya mendapat peluang duduk semeja dengan manusia yang ingin didekatinya itu, cerita sebenar berputar 180 darjah dan saya berkata; Oh! My God! Kalaulah sahabat saya itu menunggu lebih lama lagi ...... dia akan menikmati erti sebenar happy ending. Tapi, ya, payah!


3). Saya ke butik kecantikan beberapa minggu lalu bagi mengisi waktusementara menunggu tayangan filem yang ingin saya tonton dan saya dilayani oleh seorang gadis (dahulu dia jejaka) yang cantik dan saya membatalkan hasrat untuk merapikan rambut. Sebaliknya, membeli waktunya untuk berbual-bual (katanya, ini pertama kali pelanggan membayar sesuatu tanpa disentuh) maksud saya khidmatnya sebagai seorang pekerja di butik itu. Sebagai wanita saya kerap memuji betapa cantiknya dia (sambil berusaha keras untuk tidak menyebut 'tulen') dan dia kelihatan gembira dengan pujian itu dan membuka bicara tentang 'pengorbanan' yang telah dilakukannya untuk menjadi seperti apa yang saya lihat dan persepsi awal saya tadi sedikit demi sedikit lebur dan saya masuk ke dalam dunia masa silamnya yang penuh duka. Bukankah kecurigaan itu terbunuh ketika kita bersapa? (Usman Awang)


"Happy tak dengan life you sekarang?" tanya saya.

Dia menjawab pertanyaan saya dengan senyuman yang menyerlahkan lesung pipitnya persis seorang model terkemuka yang tenang. Dan telefon pintarnya yang digenggam bergegar. Segera dia menjawab panggilan yang nampaknya ditunggu-tunggunya dan ketika suaranya yang garau (katanya, hal terakhir yang akan dilakukannya kelak jika cukup modal ialah mengubah suai pita suaranya agar kelihatan lebihfeminin) dan dia merengek manja dengan seseorang yang dipanggilnya 'hubby' dan saya melihatnya sangat gembira dengan jalan hidup yang dipilihnya sejak sedekad lalu.


"Sorry, apa soalan you tadi?" dia bertanya kembali setelah menamatkan perbualan.


Jawab saya; "Berapa?" sambil saya seluk tas tangan untuk membayar waktunya.


"Tak payahlah, sis! I'm happy sebab you tak judge I."


4). Saya sedang membaca buku-buku akademik berkenaan politik bangsa Malaysia, nasionalisme Melayu, negara-bangsa dan semua perbahasaan mengenainya untuk meluruskan semula persepsi saya yang saya fikiragak bengkang bengkok selama ini. Ketika kita hidup dalamsebuah komuniti yang pelbagai, hal pertama yang paling penting pada hemat saya ialah pengurusan mengendalikan persepsi kita terhadap orang lain. Meskipun ia hal peribadidan bukan sesuatu yang dapat kita kawal, tetapi percaya atau tidak, ia pencetus kepada semua masalah di muka bumi kerana iabersifat universal.



Salam hormat.

RM


Comments

Popular posts from this blog

biodata ruhaini matdarin

Novel Jendela Menghadap Jalan - sebuah trivia; bahagian 1

Karya paling lama saya tukangi