Perubahan


1. ) Dalam bukunya  (novel autobiografi) Change, Mo Yan merobohkan bangunan usang di Pekan Kaunti dan membina empat buah rumah baharu dalam tempoh masa sebulan. Hal ini membuat saya kagum kerana untuk melakukan perubahan, kita tak perlu membina sesuatu dari tanah yang luas atau menggali dasar bumi atau mencipta hal-hal yang belum ditemui orang lain. Cukup dengan memperbaharui hal-hal lama/usang/buruk dan menjadikannya bermanfaat untuk orang lain yang memerlukan. Jika anda membaca novel-novel Mo Yan, Red Sorghum misalnya atau The Republic of Wine atau Big Breasts and Wide Hips dan POW! anda akan mendapati beliau menghadam dengan baik buku klasik The Three Kingdoms, Dreams of the Red Chamber dan Journey to the West yang menjadi kegemaran penikmat sastera klasik dunia dan beliau menghafal puisi-puisi Tang dan Song.

(Kita baca Hikayat Hang Tuah tak? Sudah baca Sulalatus Salatin?)

Satu hal yang saya amati mengenai Mo Yan ialah hampir besar ilham penulisannya bertitik tolak daripada keinginannya mengubah sosial dan politik negaranya dan beliau berhasil kerana menjadikannya sesuatu yang peribadi (masalah utama kita - termasuk saya- apabila menulis sebuah cerita kita terlalu menjadikan tulisan itu bersifat umum. Sedangkan kebanyakan karya besar dunia bersifat khusus - peribadi - skopnya dikecilkan meskipun isunya sejagat) dan ia menjadi sejarah rakyat atau masyarakat tanpa beliau berusaha ke arah itu. Ini memang benar-benar handal. Dalam Salina karya SN A.Samad Said juga begitu (penulisannya bersifat to show bukannya to tell.) Ah! Saya masih belajar perkara ini dan nampaknya ia mudah tetapi sukar dilakukan meskipun sudah banyak membaca karya orang lain.


2). Selain Revolusi Perancis, saya gemar membaca berulang kali sejarah Revolusi Thai kerana dramatiknya Kuasa Parti Rakyat menjatuhkan sistem monarki yang (antara) paling utuh di dunia yang kemudiannya membawa kepada kejatuhan  kuasa diraja pada tahun 1932. Saya pernah beranggapan Malaysia tidak bakal mungkin melalui proses yang aneh dan unik sebegini kerana banyaknya hal (kita mendapat kemerdekaan tanpa pertumpahan darah, kita bangsa yang suka berbincang dan mengundi, bla bla bla) tetapi 10 Mei 2018 lalu kita MENGUBAH peta sejarah politik negara. Lima atau sepuluh dekad akan datang anak cucu cicit kita akan membaca sejarah itu tanpa rasa bosan sebaliknya teruja. Apabila kita selalu menang dan berada di atas kita cenderung leka dan lupa pada bila-bila masa orang yang menyokong kita akan berpaling kerana seperti musim-musim manusia BERUBAH apabila sudah bosan dengan hal itu-itu juga.

Abad ke -15 dan abad ke-19 antara abad yang banyak berlakunya peristiwa menarik. Salah satu daripadanya ialah perluasan kuasa politik dan budaya oleh kuasa-kuasa besar Eropah. Kolonialisme muncul dan berakar di benua Amerika Utara dan Selatan, Asia serta sebahagian besar benua Afrika untuk sekian lama. Anda perasan tak berapa banyak karya seni agung yang muncul pada abad ini? Wikipedia dipenuhi dengan ratusan nama dan karya yang sehingga kini diagung-agungkan oleh penikmat seni. Lukisan-lukisannya boleh dijual dan dibeli pada harga tidak masuk akal di galeri dan muzim. Mengapa? Kerana di sana ada titik PERUBAHAN yang mempengaruhi tingkah laku, pemikiran serta peradaban manusia masa depan (kita) yang kononnya sedang berada di zaman moden. Persoalannya, apakah kita benar-benar bebas dan berubah daripada kesan penjajahan di abad-abad lalu?

3) Salah satu impian besar saya - khususnya sastera - saya ingin melihat ada satu nama (siapa pun beliau) yang muncul di celah-celah, jika tidak seiringan di puncak atau di tengah-tengah nama-nama besar pengarang dunia yang masuk ke dalam rumah Noble Prize Literature, jika pun bukan sebagai pemenang tetapi sebagai calon yang suatu masa (terdekat?) boleh kita banggakan dan kenang (kalau panjang umur) tetapi saya fikir untuk menuju ke arah itu kita harus BERUBAH. Entah dari segi apa tetapi ada banyak yang harus diubah. Saya fikir kita berada di zon yang selesa, berpuak-puak dan tidak berani menghasilkan sesuatu yang dipanggil PERUBAHAN. Ia tidak seharusnya memecahkan batu-bata atau mencederakan makhluk hidup atau memaki hamun atau eksperimental bagai. Saya fikir ia akan bermula dari akar umbi. Dari yang paling asas. Dari yang paling kecil tetapi bersifat universal. Jika kita ingin ia bertahan dan hidup lama, ia mesti mewakili siapa kita. Begitulah pada hemat saya.

Salam hormat.

Salam Malaysia Baharu.

RM



Comments

  1. Oh saya sangat menyukai Perubaha. Bukunya tipis dan dihabiskan dalam masa sehari!

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular posts from this blog

biodata ruhaini matdarin

Novel Jendela Menghadap Jalan - sebuah trivia; bahagian 1

Hari-Hari Terakhir di Jesselton