Hari-Hari Terakhir di Jesselton

Beberapa judul buku saya boleh dicari (kalau rasa mahu beli untuk bacaan sekarang dan masa depan) di Kedai Nano https://shopee.com.my/kedainano ๐Ÿ’›๐Ÿ˜Š



Memulakan dan menyudahkan manuskrip novel ini memberi kesan yang pelbagai. Saya memulakan dengan cepat tetapi menutupnya perlahan (bahkan tertangguh banyak kali) dan melalui proses penambahan serta suntingan pada saat-saat akhir agar ceritanya tidak tergantung. Termenung juga saya dibuatnya selama beberapa minggu ketika editor novel ini, Puan Salona bertanya apakah ceritanya sengaja dibiar tergantung atau saya perlu membuat penambahan? Dan meskipun saya membuat penambahan tetap saja ada persoalan yang tidak berjawab (sengaja?) dan saya membiarkan pembaca sendiri yang membuat kesimpulan.

Selama saya menukangi manuskrip ini saya membayangkan visual drama pentas kerana hampir seluruh cerita dalam novel ini digerakkan dengan perilaku dan fikiran watak-wataknya sebagai seorang bintang bangsawan. Mereka berlakon untuk cari makan dan sehingga pada suatu ketika saya tidak dapat membezakan apakah pada saat mereka di luar pentas mereka masih berlakon atau menjadi diri sendiri? Bukankah dunia ini pentas lakonan manusia seluruhnya? Apa sebenarnya yang kita cari dalam hidup ini? Adakah pengiktirafan manusia lain sudah cukup membuat kita bahagia? Setelah semua itu dikecapi, mengapa masih ada keinginan lain yang lebih besar muncul dan mendorong kita mengejarnya?

Dan apakah yang lebih tragis selain daripada melepaskan segala-galanya ketika kita nyaris-nyaris mencapai apa-apa yang kita kehendaki? Saya teringat Santiago dalam The Old Man and The Sea. seorang tua yang berhempas pulas untuk membuat tangkapan ikan terbesar dalam hidupnya tetapi di penghujung hari Santiago tidak mendapat apa-apa. Peristiwa membuatkan kita memilih hal yang lebih utama dalam hidup. Cerita dalam buku ini ialah tentang memilih apa yang lebih penting. Begitulah, tafsiran saya sebagai penulis buku ini.


Selamat membaca bagi yang sudi mendapatkan naskah ini kemudian hari.




Salam hormat
RM

Comments

  1. Saya dah membaca karya saudari dan saya sangat menyukainya. Teruskan berkarya!

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular posts from this blog

biodata ruhaini matdarin

Novel Jendela Menghadap Jalan - sebuah trivia; bahagian 1