Skip to main content

Proses kreatif seorang Ruhaini

Pada satu-satu masa, saya disiplinkan diri (mewajibkan) membaca lebih daripada 5 buku. Satu bab sehari bagi setiap buku. Sebulan, atau kurang mesti habis baca. Buku-buku yang saya baca tidak semestinya fiksyen. Kadangkala seorang penulis mendapat ilham ketika membaca buku-buku bukan fiksyen, buku motivasi misalnya, buku-buku agama, buku panduan memasak, apa sahaja yang boleh dibaca. Simpan dalam kepala. Suatu masa kelak antara jutaan maklumat dalam kepala kita akan melompat keluar di celah-celah plot cerita yang kita tulis. Itu dipanggil proses kreatif. Ada penulis lebih selesa menulis sambil mencari maklumat. Saya tidak begitu. Bila saya menulis, saya hanya akan menulis. Bila saya membaca, saya hanya membaca. Tetapi, bila saya sudah habis baca 10 buah buku, saya mesti menulis sekurang-kurangnya dua cerpen dan melakar plot sebuah novel (siap atau tidak, soal kedua) dan saya simpan.

Dahulu saya menulis hampir setiap hari, kini kurang. Tetapi saya membaca setiap hari. Barangkali usia bertambah matang. Saya cenderung menjaga kualiti. Jika tidak membaca buku, saya membaca orang. Jika tidak membaca orang saya membaca alam. Jika tidak membaca alam, saya membaca kucing, membaca kopi, membaca hujan, membaca kuburan, membaca daun gugur, membaca apa sahaja yang mengalir, bernyawa, bergerak dan melintas di depan saya. Ini dipanggil proses jadi lebih kreatif. Selain membuktikan, penulis adalah contoh manusia yang paling tebal jiwanya, paling halus, paling cerdik atau sesekali paling bengap kerana terlalu mengambil peduli hal-hal kecil. Kerana saya percaya kita selalu terluka dan runsing oleh hal-hal kecil, bukannya hal-hal besar.


Dahulu saya gemar bersendirian di satu sudut kedai makan, muzium atau perpustakaan atau pusara atau bangku hospital meskipun tiada sesiapa dilawati (jangan ketawa, ini benar) untuk membaca atau mencatat nota-nota. Kini saya membaca di bilik bacaan rumah, di tempat tidur dan di setiap kesempatan yang ada. Bila berada di tengah-tengah manusia, saya membaca buku cuma lima minit, selebihnya mengakrabi manusia. Memerhati mereka. Berbual dengan mereka tanpa perlu menjadi sahabat. Ini satu proses latihan buat saya mencipta watak tokoh yang lebih realistik. Sekalipun saya menulis dalam aliran realisme magis misalnya atau sains fiksyen, saya masih memerlukan watak manusia nyata. Bila kita kenal lebih ramai manusia dari pelbagai lapisan serta carta sosial, ia satu kelebihan semasa menulis tentang watak dan perwatakan.

Saya suka membaca sajak. Membaca sajak  sambil menikmati secangkir kopi, merupakan momen pencetus untuk memulakan penulisan. Saya akan menulis dengan laju sekiranya semua bahan yang diperlukan sudah tersedia umpama hendak membuat kek. Jika tidak membaca sajak, saya akan mendengar muzik yang menyedapkan halwa telinga. Tetapi sejak kebelakangan ini, selera pencetus saya menulis laju berubah. Saya gemar membelek buku-buku tentang kematian, ensiklopedia kematian misalnya, teman di barzakh, menelusuri perjalanan alam roh dan senarainya terus bertambah seiring waktu. Saya berfikir, saya mesti (wajib) menulis buku yang bermanfaat sekalipun ingin menulis yang aneh-aneh. Setidak-tidaknya jika saya menutup usia dan beredar di muka bumi ini kelak, saya meninggalkan sesuatu untuk dikenang bukannya dikecam.


Mudah saja proses kreatif saya. :)


Salam hormat.

RM

Comments

  1. Kunjungin Segera Website kami : www(titik)bolavita(titik)pro Info Lebih Lanjut Bisa Hub kami Di : Live Chat Online 24 JAM NONSTOP !!! whatsApp : +6281377055002 Pin BBM : BOLAVITA
    Bonus kepada member setia Bolavita :
    - Bonus !0% new member untuk permainan SportBook.
    - Bonus 5% setiap harinya sportbook.
    - Bonus !0% new member sabung ayam.
    - Bonus 5% setiap harinya sabung ayam
    - Bonus 10% setiap harinya bola tangkas
    - Bonus Refferal 7% + 2% seumur hidup.
    - Bonus Rollingan Casino 0,5% - 0,7% setiap minggu
    - Bonus Cashback sportbook dan sabung ayam 5% - 10%.

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular posts from this blog

biodata ruhaini matdarin

http://ruhainimatdarin.simplesite.com/

Ruhaini Matdarin dilahirkan pada 16 Mac 1981, di Kota Kinabalu, Sabah. Mendapat pendidikan sehingga Sarjana Pengurusan Kewangan, pernah berkhidmat sebagai juruaudit, pengurus kewangan dan penasihat kewangan di beberapa buah syarikat pembinaan dan konsultansi. Pernah berkhidmat di Tak Community Collegge sebagai tenaga pengajar separuh masa program budaya Asean 2012-2013. Bermula tahun 2016 memilih untuk bekerja secara freelance (tapi hal ini ternyata menambah kesibukannya terhadap kerja hakiki) supaya boleh menulis pada bila-bila masa yang disukai dan melakukan perkara lain yang lebih bermanfaat selain bekerja keras hanya untuk membayar bil dan cukai-cukai. Ahli Badan Bahasa dan Sastera Sabah serta ahli seumur hidup Penulis Nasional (PENA).  Menjadi pembimbing dan mentor bagi MPR peringkat negeri Sabah, bengkel penulisan novel dan cerpen anjuran unit Penerbitan DBP cawangan Sabah. Alumni Mastera novel 2016. Pengasas bersama SUNTIK, sebuah program b…

Novel Jendela Menghadap Jalan - sebuah trivia; bahagian 1

Saya fikir saya harus menulis mengenai entri ini memandangkan novel ini menjadi teks kajian pelajar (juga guru-guru sekali) yang mungkin tertanya-tanya setiap sesuatu di sebalik simbol tempat, watak serta latar yang membangunkan cerita. Saya gunakan teknik 'cantuman idea' yang bermakna tidak keseluruhan cerita berlaku di kampung datuk. Kampung yang jendela-jendelanya menghadap ke jalan dibina oleh cantuman-cantuman idea. Ia wujud tetapi tidak pada satu latar. Ia wujud disebabkan oleh cantuman-cantuman idea hasil daripada perjalanan saya. Ia sebuah fiksyen. 
Misalnya begini. Watak nenek, beliau seorang berketurunan Cina, itu betul. Idea watak ini saya tulis selepas kunjungan di Kampung Cina, Terengganu. Usia kampung ini sekitar 300 tahun, menjadi tempat pedagang singgah dari Selatan China. Kedai-kedai lama sudah banyak diubahsuai dan dijadikan kafe, restoran serta rumah tumpangan dengan ciri moden. Rata-rata generasi baharu di kawasan kampung ini dipanggil Peranakan. Ia terletak…

Memori mengenai Jendela Menghadap Jalan

Memori ketika menulis novel ini agak kabur dalam ingatan saya tetapi ia ditulis semasa arwah ibu masih di sisi. Sepuluh tahun sudah berlalu. Saya memulakan kerja-kerja mengarang naskah awal novel ini pada pertengahan tahun 2007, tanpa sebarang hasrat hendak menghantarnya ke mana-mana penerbitan. Namun dorongan utama saya untuk terus meneruskannya apabila saya membaca novel Sally Morgan berjudul My Place - sebuah novel lama pengarang Australia. Kini, saya tidak lagi mengingati akan plot buku tersebut namun saya sentiasa mengenang akan keindahan langgam bahasanya. 
Pada hari ini, novel ini dikaji oleh para pelajar di empat buah negeri (Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak) saya juga tidak pernah berhasrat novel ini menjadi bahan kajian sepertimana saya tidak menyimpan keyakinan tinggi ketika menghantar manuskrip novel ini kepada sekretariat Hadiah Sastera Kumpulan Utusan bagi tahun penilaian 2008. Sehinggalah pada suatu hari, pada penghujung bulan Februari atau awal Mac 2009 (rasa-ras…