catatan bagi bulan-bulan yang tertangguh

http://ruhainimatdarin.simplesite.com/

Beberapa buah laman sosial yang saya pernah mendaftar sebagai pengguna, kini sudah jadi pusara (kata laluan pun lupa dan tidak pernah reset walau sekali). Facebook menunggu masa jadi arwah. Banyak kali saya ingin mencuba aktif (kerana teman-teman lain pun sibuk juga dalam hidup tapi mereka masih punya masa untuk 'like' dan 'comment' atau memuat naik status sekurang-kurangnya 10 status sehari) kagum saya dibuatnya.

Sejak kebelakangan ini saya disibukkan oleh kucing-kucing serta buku-buku yang melambai-lambai di rak yang belum disentuh, sudah dibaca separuh (tapi bila menyambung bacaan, saya hilang arah dan harus membaca semula dari awal, parah!) dan beberapa buah buku yang harus diulang baca sebagai rutin tahunan.

13 Oktober 2016, Raja Bhumibol mangkat. Saya percaya waktu-waktu sukar yang beberapa tahun lalu yang cuba ahli keluarga baginda tangguhkan dan melawan dengan segala usaha sains perubatan yang terdaya, sudah sampai ke penghujungnya. Entah mengapa saya berasa sedikit hiba. Barangkali kerana Thailand pernah menjadi rumah kedua saya. Imej baginda berada di mana-mana sahaja = di premis perniagaan, bangunan kerajaan, universiti, sekolah, papan tanda jalan bahkan di panggung wayang sekalipun sebelum sesuatu filem ditayangkan, penonton wajib berdiri bagi menghormati lagu kebangsaan yang dipenuhi oleh imej raja. Raja adalah tuhan bagi rakyat Thailand.

Berbalik kepada kisah saya sibuk dengan kucing-kucing. Kucing saya melahirkan tiga ekor anak. Tiga minggu kemudian ada hamba Allah yang membuang empat ekor anak kucing di tepi jalan (mudah-mudahan Allah mengampunkan dosa kau dan kau diberi ketenangan dalam hidup) dan saya hanya mengetahuinya dua hari kemudian. Anak kucing itu disembunyikan dalam kotak maggi. Dua hari dua malam berpanas berhujan di tepi jalan (menurut seorang jiran) dan anehnya tiada sesiapa yang ringan tangan mengutip (termasuk jiran yang memberi info tadi) untuk dibawa pulang (semoga kamu semua diampunkan Allah dan diberi ketenangan dalam hidup) dan seorang remaja perempuan yang balik dari sekolah mengalihkan kotak tersebut ke kawasan pembuangan sampah. Mereka bertuah kerana beberapa jam kemudiannya Allah gerakkan hati saya berjalan ke tempat pembuangan sampah, untuk buang sampah sudah tentu. Saya ambil empat ekor anak kucing yang pada hemat saya usianya belum sampai dua minggu. Apakah anak-anak kucing ini kematian ibu? atau mereka dipisahkan daripada ibu mereka? Saya tumpangkan mereka menyusu dengan ibu kucing saya.

Sepanjang September saya bergulat dengan novel-novel pengarang Feminis Mesir, Nawal el-Saadawi.  Beliau adalah feminis yang sejati. Selalu melawan dengan 'kesunyian' yang dalam. Dan diam itu adalah satu penentangan yang jauh lebih berkesan berbanding bertindak balas dengan kata-kata. Dan membaca buku-buku Nawal menghubungkan saya dengan tulisan-tulisan Alice Walker. Nada mereka sejalan. Makan dalam. Menegur tanpa mengecam. Tapi masalahnya dada saya penuh dengan emosi turun naik. Murung saya dibuatnya. Terpaksa saya belek semula buku kisah-kisah para nabi dan rasul untuk menenangkan perasaan.

Seandainya laman sosial wujud pada tahun 1941-1943, mungkinkah sejarah pada hari ini berbeza?



Salam hormat.

RM



Comments

Popular posts from this blog

biodata ruhaini matdarin

Novel Jendela Menghadap Jalan - sebuah trivia; bahagian 1

Hari-Hari Terakhir di Jesselton