Skip to main content

catatan bulan september (1)

Saya dan Ka (dari Snow dan Trivia) mencicipi secangkir Kopi Tenom di Anjung Senja lalu bercerita pada saya mengenai pelbagai jenis kopi yang pernah dinikmatinya di seluruh dunia. Usai dia bercerita tentang kopi, saya pun memuji dirinya yang tidak begitu 'Heroic' dalam mana-mana novel yang pernah dia berada. Wataknya digasak oleh macam-macam ideologi dan idealisme tapi dia berjalan  - go with the flow - dan tidak ditelan oleh plot - tidak berasa terancam dengan watak-watak lain - tidak menunjuk-nunjuk yang dia itu bagus - tetapi akhirnya dia yang berada di hujung cerita bersama jawaban (sama ada terlerai atau pembaca fikir sendiri), kagum sungguh saya. Dan saya memberitahunya, semasa saya mengikuti Program Penulisan MASTERA di Cianjur, Indonesia pada bulan Ogos lalu, mengenai saranan salah satu pembimbing program iaitu Pak Agus R Sarjono; dosa besar seorang penulis ialah menulis cerita yang membosankan dan sebuah karya yang bakal bertahan lama di dunia ialah cerita yang tidak heroic.

i). Saya merumuskan perbualan saya dan Ka pada petang itu; jika hendak masuk ke dalam konteks sastera Malaysia yang masih, katakanlah ibarat pintu besar - terbuka separuh - pengawal pintu itu terdiri daripada para sarjana (kerana mereka ini menjadi hakim sayembara dan memberi markah kepada penerima anugerah) dan di sebalik pintu itu ada rumah-rumah penerbitan yang digemari oleh anak-anak muda masa kini (tidak termasuk penerbit karya romantis dan cerita seram) yang turut serta mengambil inisiatif mahu mendobrak sastera Malaysia yang lapuk (atau itu-itu juga) tapi mungkin saja dengan cara sedikit kasar. Kata Ka; mendobrak sesuatu yang lama tidak perlu menyumpah seranah atau menggunakan seks sebagai peralatan atas nama kebebasan. Misalnya novel Elie Wiesel, La Nuit (Night) betapa bagusnya cara Elie mengubah ceritanya sampai kita lupa kehidupan manusia yang diangkat dalam cerita itu ialah hidup orang-orang Yahudi di zaman perang dunia kedua. Kita berasa empati pada penderitaan mereka kerana Elie menulis sebagai manusia dan mengungkapkan suara kemanusiaan yang kemudian kita tafsir dalam erti kemanusiaan sejagat.

ii). Di Malaysia, kami (untuk teman pembaca di Indonesia, Brunei dan Singapura) selalu diberitahu tentang Salina, karya SN A.Samad Said. Di suruh baca kalau mahu jadi penulis. Begitu juga karya-karya Azizi Abdullah, Anwar Ridwan, Abdullah Tahir, Arenawati. Di antara semua yang tersenarai ini, saya menyukai gaya penulisan Anwar Ridwan. Beliau juga menjadi guru penulisan saya dalam beberapa program penulisan anjuran DBP. Selebihnya saya berguru dengan buku-buku yang saya sukai. Buku-buku yang bila saya baca memberi inspirasi, segar dan ingin terus dibaca berulangkali macam buku-buku Marquez. Dan Ka beritahu saya; baca sembilan kali, menulis sekali.  Para sasterawan besar dunia tidak hanya duduk mengarang berdasarkan imaginasi semata-mata sambil minum bercawan-cawan kopi dan menghabiskan berpuluh-puluh batang rokok. Macondo dalam One Hundreds Years of Solitude dihasilkan oleh sederetan pengamatan dan fakta-fakta yang menyerang kepala dan emosi Marquez bertahun-tahun lamanya. Kemudian saya terkenang sasterawan Indonesia, Pak Ahmad Tohari yang pernah berkongsi pengalaman beliau menulis Ronggeng Dukuh Paruk. Kata beliau, idea serta bahan untuk menulis novel bagus itu berkelana dalam dirinya lebih empat tahun.

iii). Ka tergesa-gesa ingin kembali ke dalam Snow dan Trivia pada petang itu sedangkan saya masih ingin berbual-bual panjang. Dia menutup rumusan awal saya tadi: katanya, tidak mustahil suatu hari nanti karya besar sastera malaysia bukan lahir dari perut penerbit yang dijaga oleh pemerintah tapi dari perut penerbit komersial (yang pastinya bukan penerbit buku romantis dan cerita seram) sekiranya karya itu ditulis oleh seorang pengarang yang bagus (bukan sekadar menyumpah seranah atau memasukkan unsur lucah semata-mata) atau boleh saja karya besar sastera Malaysia itu tetap lahir di perut penerbit yang dijaga oleh pemerintah tetapi ditulis oleh pengarang yang bagus. Saya mencatat kata kunci 'Pengarang yang bagus' dan berfikir; apa yang dimaksudkan dengan pengarang yang bagus? Jawaban yang akan saya terima akan pelbagai. Penggemar  Roberto Bolano akan memberi jawaban berbeza dengan penggemar Laszlo Kraznahorkai. Apatah lagi penggemar Murakami akan pasti memberi pandangan jauh berbeza dengan penggemar Mo Yan. Akan tetapi, yang pasti ia selalu akan bermula dengan NIAT mendorong seorang penulis, untuk menulis.

Ka mengucapkan selamat tinggal pada saya di hujung senja. Hujan turun lebat ketika Ka hilang dari penjuru langit. Meninggalkan saya bersendirian menghabiskan kopi dan pulang dengan semangat baharu untuk menulis cerita yang lain.




Salam Hormat.

RM

Comments

Popular posts from this blog

biodata ruhaini matdarin

http://ruhainimatdarin.simplesite.com/

Ruhaini Matdarin dilahirkan pada 16 Mac 1981, di Kota Kinabalu, Sabah. Mendapat pendidikan sehingga Sarjana Pengurusan Kewangan, pernah berkhidmat sebagai juruaudit, pengurus kewangan dan penasihat kewangan di beberapa buah syarikat pembinaan dan konsultansi. Pernah berkhidmat di Tak Community Collegge sebagai tenaga pengajar separuh masa program budaya Asean 2012-2013. Bermula tahun 2016 memilih untuk bekerja secara freelance (tapi hal ini ternyata menambah kesibukannya terhadap kerja hakiki) supaya boleh menulis pada bila-bila masa yang disukai dan melakukan perkara lain yang lebih bermanfaat selain bekerja keras hanya untuk membayar bil dan cukai-cukai. Ahli Badan Bahasa dan Sastera Sabah serta ahli seumur hidup Penulis Nasional (PENA).  Menjadi pembimbing dan mentor bagi MPR peringkat negeri Sabah, bengkel penulisan novel dan cerpen anjuran unit Penerbitan DBP cawangan Sabah. Alumni Mastera novel 2016. Pengasas bersama SUNTIK, sebuah program b…

Novel Jendela Menghadap Jalan - sebuah trivia; bahagian 1

Saya fikir saya harus menulis mengenai entri ini memandangkan novel ini menjadi teks kajian pelajar (juga guru-guru sekali) yang mungkin tertanya-tanya setiap sesuatu di sebalik simbol tempat, watak serta latar yang membangunkan cerita. Saya gunakan teknik 'cantuman idea' yang bermakna tidak keseluruhan cerita berlaku di kampung datuk. Kampung yang jendela-jendelanya menghadap ke jalan dibina oleh cantuman-cantuman idea. Ia wujud tetapi tidak pada satu latar. Ia wujud disebabkan oleh cantuman-cantuman idea hasil daripada perjalanan saya. Ia sebuah fiksyen. 
Misalnya begini. Watak nenek, beliau seorang berketurunan Cina, itu betul. Idea watak ini saya tulis selepas kunjungan di Kampung Cina, Terengganu. Usia kampung ini sekitar 300 tahun, menjadi tempat pedagang singgah dari Selatan China. Kedai-kedai lama sudah banyak diubahsuai dan dijadikan kafe, restoran serta rumah tumpangan dengan ciri moden. Rata-rata generasi baharu di kawasan kampung ini dipanggil Peranakan. Ia terletak…

Memori mengenai Jendela Menghadap Jalan

Memori ketika menulis novel ini agak kabur dalam ingatan saya tetapi ia ditulis semasa arwah ibu masih di sisi. Sepuluh tahun sudah berlalu. Saya memulakan kerja-kerja mengarang naskah awal novel ini pada pertengahan tahun 2007, tanpa sebarang hasrat hendak menghantarnya ke mana-mana penerbitan. Namun dorongan utama saya untuk terus meneruskannya apabila saya membaca novel Sally Morgan berjudul My Place - sebuah novel lama pengarang Australia. Kini, saya tidak lagi mengingati akan plot buku tersebut namun saya sentiasa mengenang akan keindahan langgam bahasanya. 
Pada hari ini, novel ini dikaji oleh para pelajar di empat buah negeri (Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak) saya juga tidak pernah berhasrat novel ini menjadi bahan kajian sepertimana saya tidak menyimpan keyakinan tinggi ketika menghantar manuskrip novel ini kepada sekretariat Hadiah Sastera Kumpulan Utusan bagi tahun penilaian 2008. Sehinggalah pada suatu hari, pada penghujung bulan Februari atau awal Mac 2009 (rasa-ras…