Skip to main content

catatan di bulan Julai

Antara cerita kelahiran bayi dan keberangkatan ke alam kematian, mana satu yang meninggalkan kesan lebih mendalam pada diri kita?  Seorang bayi yang lahir, untuk beberapa tahun akan datang pasti akan  meningkat remaja, mempunyai kepintaran itu dan ini, menjadi sumber bahan ketawa dan gaduh orang tuanya serta jika saya ditakdirkan bernafas lebih lama untuk melihatnya menjadi dewasa dan memanggil saya mak cik atau nenek. Maklumat mengenainya akan berterusan saya terima.

Akan tetapi, bagi seseorang yang saya kenali selama lebih, katakanlah tiga dekad dan semalam berangkat kerana dipanggil Penciptanya memasuki sempadan akhirat. Berita mengenainya akan terputus sama sekali pada saat arwah ditanam ke dalam liang lahad. Kita tak dapat membayangkan untuk beberapa tahun akan datang, perjalanannya di alam yang tak  ada manusia hidup pernah ke sana dan kembali pada kita untuk bercerita. Kita mengenang mereka yang telah pergi ini dalam doa-doa. Kamu mungkin memanggilnya kehilangan atau rindu. Dan saya tertarik dengan pujukan; ia satu permulaan, kita semua akan ke sana.

Mana satu yang meninggalkan kesan mendalam dalam hidup kamu? Kehadiran orang hidup atau pemergian orang mati?

...............

Setiap petang Julai, hujan selalu membasahi Kota Kinabalu dan kebetulan saya mengulang baca sajak-sajak Sapardi dalam buku beliau Hujan Bulani Juni dan mendapati perasaan saya tidak sama ketika membacanya pada bulan Jun tetapi hujan tidak turun.

..............

Buku apa yang kamu baca semalam? Saya tertarik dengan tagline Dubook pada kotak pesanan buku yang saya tempah yang berbunyi: Hidup ini terlalu pendek untuk membaca buku yang teruk.
...............

Saya tidak aktif  bersosial di laman sosial dan beberapa kali saya harus menukar kata laluan untuk akaun facebook saya kerana lupa.
..............

Semenjak kemenangan Han Kang dalam The Man Booker Prize International, ia menaikkan semangat penterjemah dan syarikat penerbitan antarabangsa bagi mencari lebih banyak buku-buku pengarang Korea Selatan untuk diterjemahkan ke pelbagai bahasa.
............

Semoga Allah merahmati kita semua.



Salam hormat.

RM

Comments

Popular posts from this blog

biodata ruhaini matdarin

http://ruhainimatdarin.simplesite.com/

Ruhaini Matdarin dilahirkan pada 16 Mac 1981, di Kota Kinabalu, Sabah. Mendapat pendidikan sehingga Sarjana Kewangan, Universiti Sains Malaysia, pernah berkhidmat sebagai juruaudit, pengurus kewangan dan penasihat kewangan di beberapa buah syarikat pembinaan dan konsultansi. Pernah berkhidmat di Tak Community Collegge sebagai tenaga pengajar separuh masa program budaya Asean 2012-2013. Bermula tahun 2016 memilih untuk bekerja secara freelancer supaya boleh menulis pada bila-bila masa yang disukai dan melakukan perkara lain yang lebih bermanfaat selain bekerja keras hanya untuk membayar bil dan cukai-cukai. Ahli Badan Bahasa dan Sastera Sabah serta ahli seumur hidup Penulis Nasional (PENA).  Menjadi pembimbing dan mentor bagi MPR peringkat negeri Sabah, bengkel penulisan novel dan cerpen anjuran unit Penerbitan DBP cawangan Sabah serta sejak tahun 2013. Alumni Mastera novel 2016. Pengasas bersama SUNTIK, sebuah program bicara karya eceran (puisi da…

Novel Jendela Menghadap Jalan - sebuah trivia; bahagian 1

Saya fikir saya harus menulis mengenai entri ini memandangkan novel ini menjadi teks kajian pelajar (juga guru-guru sekali) yang mungkin tertanya-tanya setiap sesuatu di sebalik simbol tempat, watak serta latar yang membangunkan cerita. Saya gunakan teknik 'cantuman idea' yang bermakna tidak keseluruhan cerita berlaku di kampung datuk. Kampung yang jendela-jendelanya menghadap ke jalan dibina oleh cantuman-cantuman idea. Ia wujud tetapi tidak pada satu latar. Ia wujud disebabkan oleh cantuman-cantuman idea hasil daripada perjalanan saya. Ia sebuah fiksyen. 
Misalnya begini. Watak nenek, beliau seorang berketurunan Cina, itu betul. Idea watak ini saya tulis selepas kunjungan di Kampung Cina, Terengganu. Usia kampung ini sekitar 300 tahun, menjadi tempat pedagang singgah dari Selatan China. Kedai-kedai lama sudah banyak diubahsuai dan dijadikan kafe, restoran serta rumah tumpangan dengan ciri moden. Rata-rata generasi baharu di kawasan kampung ini dipanggil Peranakan. Ia terletak…

Memori mengenai Jendela Menghadap Jalan

Memori ketika menulis novel ini agak kabur dalam ingatan saya tetapi ia ditulis semasa arwah ibu masih di sisi. Sepuluh tahun sudah berlalu. Saya memulakan kerja-kerja mengarang naskah awal novel ini pada pertengahan tahun 2007, tanpa sebarang hasrat hendak menghantarnya ke mana-mana penerbitan. Namun dorongan utama saya untuk terus meneruskannya apabila saya membaca novel Sally Morgan berjudul My Place - sebuah novel lama pengarang Australia. Kini, saya tidak lagi mengingati akan plot buku tersebut namun saya sentiasa mengenang akan keindahan langgam bahasanya. 
Pada hari ini, novel ini dikaji oleh para pelajar di empat buah negeri (Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak) saya juga tidak pernah berhasrat novel ini menjadi bahan kajian sepertimana saya tidak menyimpan keyakinan tinggi ketika menghantar manuskrip novel ini kepada sekretariat Hadiah Sastera Kumpulan Utusan bagi tahun penilaian 2008. Sehinggalah pada suatu hari, pada penghujung bulan Februari atau awal Mac 2009 (rasa-ras…