Skip to main content

mencari Tuhan di dasar laut, Rita menyampaikan suara lautan



Saya fikir sekiranya laut serta semua isi laut serta makhluk terdekat dengan laut serta pantai merupakan makhluk yang diberi hak menyaman manusia di atas sikap rakus mereka, maka Rita layak mendapat komisyen tinggi di atas setiap hasil saman tersebut atas jasanya mewakili setiap luka dan kedukaan laut menerusi sepotong puisi.

Di sabah (merujuk kepada negeri asal penyair ini), apabila kita menyebut penyair yang betul-betul bagus menulis tentang laut, nama-nama seperti Saibil Madun, Saik Dalwis dan Jair Sulai akan segera disebut kerana kefasihan mereka melukis gambaran alam terutama laut secara dalam. Rita muncul terkemudian dengan teknik penulisan prosa dan fakta-fakta, yang tidak semua diketahui oleh pembaca biasa melainkan jika kita penyelam skuba yang mengenali tentang sargassum, jenis-jenis penyu dan jerung, atau pencina alam tegar yang mengikuti haiwan-haiwan laut yang didera oleh pencemaran sisa toksik buatan manusia. 

buku setebal 54 halaman ini, meskipun singkat, memerlukan waktu buat saya menghadami kerana sering kali bacaan saya terhenti terutama sekali pada bahagian yang melibatkan fakta-fakta. Bukan sebab saya tidak mempercayai fakta yang diadun ke dalam puisi-puisinya tetapi saya jeda sejenak untuk berfikir (sambil berkata, ohhh ... barulah saya tahu ...) ini salah satu kekuatan buku puisi Mencari Tuhan Di Dasar Laut, kita akan berhenti sejenak untuk berfikir. 

Antara puisi yang benar-benar memberi kesan pada saya ialah puisi Sebakul Sampah Dari Pantai.

"sebungkus negara plastik berangkat meninggalkan pantai
bergelatuk sepanjang jalanan didodoikan lambung ombak
di pantai, perkelahan segerombolan orang baru saja tamat
sebelum pulang sebakul sampah dihadiahkan kepada ombak
hilang di mata, tak hilang di laut, sampah pun mengapung
redah lautan badai, negara apung itu tak sekali diusik
gentar
sampai di satu titik, ia melanggar pulau kayu dan tayar buruk
lalu terpecah-koyak, oleh arus, angin, ribut, terik matahari
digubah cuaca menjadi puing-puing kecil, ia berlayar terus
yang kuat, keras, kilat jadi lusuh, terapung teguh berkarat
mendap di dasar, jadi hiasan buruk terumbu, dimakan penyu
seperti rakyat tak bernegara, ia buangan di negeri asing
tersasar sangka kita yang udik bahawa, dibuang, ia lenyap
padahal langkahnya jauh menuju pasifik, lautan hindi
malah ke atlantik, tak hanya berapung mengepil pantai-pantai
ia memuing jadi cebis halus, bertahunan dirombak arus, ombak
sesekali ia menyertai gerakan ombak gadang, meradang ke pantai
menyapa kita bagai saudara, lama terpisah oleh jarak
serta masa"

***

Disebabkan buku puisi ini banyak menyebut tentang badai dan ombak, entah mengapa sesekali saya teringat akan sebuah cerpen saya dalam buku cerpen Jenaka si Darah Legenda yang berjudul Misteri Pertempuan Presiden dengan Seorang Lelaki Tua Ketika Badai :)

Berita baiknya buku puisi Mencari Tuhan Di Dasar Laut dan Jenaka si Darah Legenda boleh didapati di http://ecommerce.itnm.com.my/en/books/isbn/9789670869353


***
Salam hormat

#Cintailah alam sekitar#

Comments

Popular posts from this blog

biodata ruhaini matdarin

http://ruhainimatdarin.simplesite.com/

Ruhaini Matdarin dilahirkan pada 16 Mac 1981, di Kota Kinabalu, Sabah. Mendapat pendidikan sehingga Sarjana Pengurusan Kewangan, pernah berkhidmat sebagai juruaudit, pengurus kewangan dan penasihat kewangan di beberapa buah syarikat pembinaan dan konsultansi. Pernah berkhidmat di Tak Community Collegge sebagai tenaga pengajar separuh masa program budaya Asean 2012-2013. Bermula tahun 2016 memilih untuk bekerja secara freelance (tapi hal ini ternyata menambah kesibukannya terhadap kerja hakiki) supaya boleh menulis pada bila-bila masa yang disukai dan melakukan perkara lain yang lebih bermanfaat selain bekerja keras hanya untuk membayar bil dan cukai-cukai. Ahli Badan Bahasa dan Sastera Sabah serta ahli seumur hidup Penulis Nasional (PENA).  Menjadi pembimbing dan mentor bagi MPR peringkat negeri Sabah, bengkel penulisan novel dan cerpen anjuran unit Penerbitan DBP cawangan Sabah. Alumni Mastera novel 2016. Pengasas bersama SUNTIK, sebuah program b…

Novel Jendela Menghadap Jalan - sebuah trivia; bahagian 1

Saya fikir saya harus menulis mengenai entri ini memandangkan novel ini menjadi teks kajian pelajar (juga guru-guru sekali) yang mungkin tertanya-tanya setiap sesuatu di sebalik simbol tempat, watak serta latar yang membangunkan cerita. Saya gunakan teknik 'cantuman idea' yang bermakna tidak keseluruhan cerita berlaku di kampung datuk. Kampung yang jendela-jendelanya menghadap ke jalan dibina oleh cantuman-cantuman idea. Ia wujud tetapi tidak pada satu latar. Ia wujud disebabkan oleh cantuman-cantuman idea hasil daripada perjalanan saya. Ia sebuah fiksyen. 
Misalnya begini. Watak nenek, beliau seorang berketurunan Cina, itu betul. Idea watak ini saya tulis selepas kunjungan di Kampung Cina, Terengganu. Usia kampung ini sekitar 300 tahun, menjadi tempat pedagang singgah dari Selatan China. Kedai-kedai lama sudah banyak diubahsuai dan dijadikan kafe, restoran serta rumah tumpangan dengan ciri moden. Rata-rata generasi baharu di kawasan kampung ini dipanggil Peranakan. Ia terletak…

Memori mengenai Jendela Menghadap Jalan

Memori ketika menulis novel ini agak kabur dalam ingatan saya tetapi ia ditulis semasa arwah ibu masih di sisi. Sepuluh tahun sudah berlalu. Saya memulakan kerja-kerja mengarang naskah awal novel ini pada pertengahan tahun 2007, tanpa sebarang hasrat hendak menghantarnya ke mana-mana penerbitan. Namun dorongan utama saya untuk terus meneruskannya apabila saya membaca novel Sally Morgan berjudul My Place - sebuah novel lama pengarang Australia. Kini, saya tidak lagi mengingati akan plot buku tersebut namun saya sentiasa mengenang akan keindahan langgam bahasanya. 
Pada hari ini, novel ini dikaji oleh para pelajar di empat buah negeri (Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak) saya juga tidak pernah berhasrat novel ini menjadi bahan kajian sepertimana saya tidak menyimpan keyakinan tinggi ketika menghantar manuskrip novel ini kepada sekretariat Hadiah Sastera Kumpulan Utusan bagi tahun penilaian 2008. Sehinggalah pada suatu hari, pada penghujung bulan Februari atau awal Mac 2009 (rasa-ras…