Feminisme Dalam Sastera, sudah lapuk?
Jumaat lalu saya menjadi salah seorang panel dalam Wacana Pena, judul wacana ini sebenarnya tidak perlu dibahaskan lagi sebab jawabannya bertebaran di luar sana. Bukan sebab ia tidak penting untuk dibahaskan tetapi ketika berbahas serius sekalipun, kita tidak menemui satu cara yang paling tepat membicarakannya. Ini juga satu hikmah berwacana, selalu ada persoalan lain yang timbul.
Saya bukan penulis yang terikat dengan konsep keperluan memasukkan semua unsur perjuangan wanita (tapi bersikap terbuka dan menghargai idealisme dan intelektualiti) hingga membuka peluang kepada saya kehilangan kebebasan kreativiti. Sengaja saya tidak menjawab panjang-panjang (dengan wajah tension lagi, hahaha) sebab ia nyaris-nyaris gagal untuk dibicarakan kerana selagi soalan seperti 1). Adakah feminisme ini sudah lapuk? 2). Perlukah ia diterapkan ke dalam penulisan? 3). Perlukah penulis wanita menulis tentang nasib wanita? Ia akan membuka pertanyaan kali kedua, ketiga dan seterusnya kepada jawaban yang tidak cermat dijawab. Kita pun berpakat semua menjawab TIDAK LAPUK dan YA harus!
Dengan segala kudrat yang ada, seorang penulis tidak harus 'dipaksakan' menulis sesuatu yang menghilangkan warna dan suara dalam setiap tulisannya. Saya boleh menulis tentang bola, kerusi, kayu, baldi (teringat cerpen Roslan Jomel), selagi ia wajar. Menulis tentang manusia seharusnya membuka semua ruang perbincangan yang boleh dibuka, Olga Tokarczuk menghasilkan novelnya yang membantu beliau menerima Hadiah Noble, FLIGHTS. Jika anda membaca novel ini, anda akan menemui banyak jejak dan kesan cultural anthropology. Hal yang umum menjadi khusus - saya berpegang kepada konsep ini, tanpa mengira siapa watak saya dan alur ceritanya bagaimana. Lihat cara ia digarap. Baca cara ia mengalir macam air sungai. Membawa isu-isu kecil yang bersifat domestik, menjadi universal. Saya fikir, hal sebegini yang harus ditekankan dalam penulisan sekarang.
Kalau kita hendak mengambil kira konteks feminisme di luar teks sastera, isunya tidak pernah habis-habisnya. Selagi ada estrogen dan progesterone dalam tubuh manusia, kita akan saling melukai sama ada dengan pendapat, tulisan, dasar, dan sikap. Saya ada sentuh tentang membangkitkan kesedaran, tapi soal membangkitkan kesedaran ini juga luas skopnya - akhirnya saya tidak memaksudkan dalam karya tetapi secara umum - sebab kalau kita hendak menyuruh pengarang wanita atau lelaki membangkitkan kesedaran supaya bersikap adil, tidak menganiaya wanita, menghargai wanita, tidak melakukan perlecehan seksual, mengangkat martabat wanita (BACA: Nawal El-Saadawi, bagaimana beliau mengarang novel-novel Feminisme-nya secara semula jadi) dalam setiap penulisan yang jika dipaksa-paksakan akan gagal berdiri sebagai teks yang mempunyai warna dan suara pengarang itu sendiri (dan cenderung jadi karya keluh-kesah jika digarap selapis). Sebabnya, hal yang lebih penting ialah bagaimana kita menggarap cerita (tanpa mengira apapun isunya (kecil atau besar) dan siapa pun yang mahu diangkat) agar berupaya memenuhi asas-asas karya sastera yang berkualiti.
Dan, ya! Kualiti itu sifatnya juga subjektif kan?
Salam hormat
RM
Betul, saya setuju dengan pendapat puan. Tidak dinafikan feminisme memang penting, tetapi bukan mudah untuk seseorang penulis menyerapkan isu tersebut dalam penulisan mereka, lebih-lebih lagi isu feminisme ini menjadi semakin sensitif dalam kalangan masyarakat kita pada hari ini.
ReplyDeleteWalau bagaimanapun, saya berminat untuk mengkaji juga novel-novel yang menerapkan unsur sedemikian. Setakat ini saya belum pernah jumpa sebarang novel sebegitu lagi.