Tentang keinginan dan Batasan
There is a portion of the cerebral cortex of your brain, folded deep within an area between the temporal and frontal lobes, it's called the insula, and it's where desire starts - Meredith Grey
Anda pasti mempunyai lingkungan individu berkeinginan tebal (mahu mencapai banyak) tetapi terhalang oleh batasan yang semua orang mengetahuinya. Kecuali dirinya sendiri tidak melihat.
Ini cerita tentang jiran saya.
Kisah ini berlaku hampir 5 tahun lalu, bukan di kawasan kediaman saya sekarang. Jiran yang mempunyai hobi menukar kenderaan. Setiap bulan pasti ada wakil syarikat pinjaman swasta datang ke rumahnya. Secara tiba-tiba saya teringat akannya kerana, mungkin melihat keghairahan orang sekeliling, di sini dan di sana, berkata tentang model kenderaan baharu yang tular. Padahal ekonomi sangat tidak stabil dan berbahaya bagi perahu-perahu kecil.
Suka atau tidak, hampir semua orang terikat dengan Teori Hierarki Keperluan Maslow. Saya selalu ingin melawan teori ini. Saya mungkin berjaya.
Jiran saya itu suka berlagak. Ketika kenderaan dua pintunya menjalar di kawasan perumahan, saya yang pada kebanyakan waktu membelanjakan waktu di anjung ketika senja, akan mendengar deruman enjin yang sengaja dikencangkan. Saya melihat kepala jiran lain mengintai di sebalik langsir. Hal ini, seingat saya berlarutan beberapa bulan sehinggakan ia menjadi hal lazim. Bahkan, ketika dia tiada di rumah, mungkin ke luar kota atau pulang kampung, kelibat dan sikap berlagaknya dirindui.
Pada suatu hari, dia pulang dari kerja dengan teksi. Seminggu kemudian dia menolak sebiji motorsikal, masuk ke halaman rumahnya. Penagih hutang dari syarikat pinjaman swasta masih datang meskipun dia telah menurunkan standard gaya hidupnya.
Saya fikir, hanya ketika dia berada 'dibawah' dia menyapa saya. Berbaik-baik dengan jiran sekeliling, yang tidak pernah dilakukannya sebelum itu. Saya tidak berkecil hati. Apabila orang datang kepada kita ketika dia terjatuh, ia cermin kehidupan nyata.
Comments
Post a Comment