Based On
1). Sejak kebelakangan ini saya menggemari sesuatu berkaitan 'Based On' kerana ia bagaikan peta yang akan membawa saya dari satu titik ke titik lain dan jika saya cukup bertuah (selalu ya) saya akan menemui 'jalan baharu' untuk mencipta cerita yang lain (saya bercakap tentang proses kreatif) dan saya mendapati sesuatu seperti ini selalu berkenaan kisah-kisah thriller, crime, mystery dan fiksyen sains. Saya belum menemui buku Ba Jin (Ha Jin lain lagi) atau Ralph Ellison yang dijadikan sebagai based on kepada idea-ieda pengarang atau penulis skrip untuk membawanya jauh ke bentuk lain menjadi mash up atau parody misalnya kerana bentuknya yang konvensional sangat, melankoli serta tertutup di ruangnya tersendiri.
2). Filem The Vanished Korea 2018 versi asal Sepanyol berjudul The Body tahun 2012 misalnya. Ideanya mudah, si suami membunuh si isteri (dengan cara menyuntik bahan pelali TC-16 yang akan menyebabkan tubuh menjadi kejang dan meninggal perlahan-lahan) kerana si isteri mengetahui hubungan sulit si suami dengan gadis muda (pelajar di universiti tempat si suami mendidik). Seorang wanita jika marah dan berdendam, dia akan mampu melakukan sesuatu secara senyap tetapi membuat dunia seorang lelaki musnah. Ini tanggapan awal penonton jika kita tidak menonton versi asal filem ini (The Body) dan pada awalnya kita bersimpati dengan nasib lelaki itu kerana kematian isteri (yang dibunuhnya) tetapi ketika plot semakin berkembang, emosi kita berputar 180 darjah dan berbalik membenci lelaki itu dan kemudian kita menjadi tertanya-tanya (apa semua ini?) wanita yang sudah mati itu hidup kembali. Ya Tuhan! Saya menonton filem ini pukul dua pagi pula. Latarnya di kamar mayat dan hutan yang sepi (kurang ajar betul) dan teknik imbas kembali dan imbas muka yang banyak digunakan oleh pembikin filem ini menemukan penonton bahawa si gadis yang kita sangka berhubungan sulit dengan watak si suami tadi rupa-rupanya ingin membalas dendam dengan kematian kakaknya 11 tahun lalu yang dilanggar oleh lelaki itu. Dosa terbesar lelaki itu (bersama isterinya ketika itu) ialah mereka panik lalu menguburkan jasad kakak si gadis itu di sebuah hutan terpencil. Lebih dramatik lagi, watak detektif yang menyiasat kes kehilangan mayat wanita tersebut merupakan dalang utama kerana perempuan yang dilanggar oleh lelaki itu 11 tahun lalu merupakan kekasihnya. Mereka hanya ingin mencari jasadnya. Saya berfikir apabila kita berada dalam situasi tertanya-tanya (ke mana dia menghilang? Masih hidupkah dia? Apakah dia diculik?) ia suatu kesakitan yang luar biasa. Dan kesakitan itu mendorong seseorang bertindak dan melakukan sesuatu di luar jangkaan untuk mendapatkan kebenaran. (Lebih baik mengetahui daripada tertanya-tanya)
3). Ada sebuah lagi filem Korea iaitu The Handmaiden yang based on sebuah siri rancangan televisyen UK berjudul Fingersmith dan siri televisyen ini based on novel Sarah Waters. Tetapi saya tidak akan mengulas lanjut mengenai filem dan siri televisyen ini atau pun novel tersebut kerana ia berunsur LGBT. Saya hanya menyukai latarnya; Zaman Victoria untuk Fingersmith dan zaman perang dunia pertama untuk The Handmaiden. Saya yakin setelah ini drama-drama kontemporari Korea yang berpotensi menjadi based on kepada bahasa lain pada siri televisyen lain di benua lain seperti Secret Mother dan The Village akan bertemu khalayaknya. Michael Ang harus mengadaptasi drama berkualiti seperti ini. Kita sudah cukup dengan kisah-kisah anak orang kaya berjodoh dengan anak orang kampung, kahwin, dianiaya emak mertua yang zalim tetapi akhirnya hidup bahagia selama-lamanya. Come on! Sudah tahun 2018 kot!
Salam hormat
RM
PS: entry akan datang saya akan cerita lebih banyak pasal based on.
Comments
Post a Comment