2017 tahun yang mengujakan

Saya fikirkan bekerja secara freelance akan memberi ruang 'rehat' lebih banyak berbanding bekerja sepenuh masa. Tetapi saya silap. Saya menjadi jauh lebih sibuk keraa saya telah keluar dari ruang selesa (makcik pakcik di kampung kata; dapat kerja makan gaji, ada epf, ada pencen ok la nak, lebih baik daripada kerja kontrak atau menganggur) dan mendorong saya lebih aktif melakukan pelbagai aktiviti membelanjakan waktu, tenaga serta modal di tangan untuk mengusahakan sesuatu untuk 'hari hujan' dan jika saya tahu ia begitu menyeronakkan, saya harus melakukannya sepuluh tahun lalu.

Apabila anda telah biasa menjalani hidup sehari-harian di bawah kawalan tekanan budaya kerja yang tinggi dan kemudian anda keluar daripada ruang tersebut, anda akan menjadi seperti seorang perokok tegar yang secara mendadak ingin berhenti. Itu jauh lebih berbahaya. Keselesaan membunuh anda. Membaca buku Boonsiri Somchit  When The Chicken Dies, Everyone Cries membuatkan saya rindu semula pada institusi (bukan hirarki) tentang bekerja berpasukan (itu pun kalau pasukan anda sealiran, sekepala tetapi  kalau selalu menjadi punca tekanan darah anda naik mendadak, analogi ini mohon abaikan). Apabila sudah bekerja sendiri, segala-galanya tentang saya (ME: BOSS) dan 'tuhan kecil' dalam diri saya semakin membesar. Saya bimbang juga jika menghidap penyakit menjadi individu yang sukar, Narcissism.

Bila bersendirian musuh utama kita ialah pemikiran kita sendiri.
Bila dikelilingi oleh manusia-manusia musuh kita ialah perkataan-perkataan kita.
Kedua-duanya boleh mematikan dalam banyak cara, secara perlahan, jangka masa panjang dan secara tunai di tempat kejadian.

Dan, ya, sempena Pesta Buku Antarbangsa KL tahun ini, saya akan berada di reruai DBP pada 6 dan 7 Mei. Dan, oh ya, novel Sayembara saya terbitan DBP akan dilancarkan pada 29 April. Kalau anda membaca tulisan ini dan kebetulan akan singgah di pesta buku nanti, pergilah dapatkan dua buah buku saya (Fiksi Buat Marquez) dan Sayembara. Dan ya, kalau anda terlepas entri sebelumnya, saya maklumkan sekali lagi tentang pertandingan ulasan buku-buku tulisan saya yang sedang berlangsung sehingga 24 Disember 2017. Anda boleh tulis di blog atau di goodreads. Tulis saja, nanti pembantu saya akan bertanya pada Encik Goggle dan mencari  ulasan anda. Kalau ulasan anda best, kita beri hadiah.

Berbalik pada bekerja secara freelance tadi, ramai mentor berkata untuk benar-benar berani melakukannya anda harus mempunyai sokongan kewangan yang baik. Tetapi saya berfikir sebaliknya, yang diperlukan ialah mental yang kuat untuk melawan kesunyian. Bagus untuk introvert tapi tidak bagus untuk kaki huha huha, Keselesaan membunuh anda. Dan saya terkenang mentor saya berkata, anda boleh berhenti bekerja tetapi anda tak boleh berhenti makan, membayar bil-bil dan lari daripada bulatan ekonomi semua pasca. Keadaan semasa mendorong anda menjadi agresif menagih hutang-hutang dan mulai peduli kepada hak anda yang mungkin sebelum ini anda pandang mudah. Dan percayalah kita tak akan pernah lagi dapat kembali kepada ekonomi asas (keperluan vs kehendak). Zaman kos hidup murah sudah berakhir.

Dan ya, tahun 2017 akan menjadi tahun yang mengujakan kerana ada banyak hal baik akan berlaku. Semoga hidup anda ceria selalu dan bertabahlah dalam menghadapi situasi semasa.


Salam hormat

RM

Comments

Popular posts from this blog

biodata ruhaini matdarin

Novel Jendela Menghadap Jalan - sebuah trivia; bahagian 1

Memori mengenai Jendela Menghadap Jalan