catatan mengenai orang-orang biasa yang luar biasa

http://ruhainimatdarin.simplesite.com/

Jiran saya pencinta kucing (walaupun pada saat ini beliau cuma mampu membela dua ekor kucing kerana kekangan tugas di pejabat). Beliau berkisah mengenai almarhum ayah beliau yang membelanjakan waktu hidup dengan mengasihi kucing yang ditemui di pinggir jalan, di kedai makan, kucing-kucing yang dibuang serta kucing-kucing yang diserahkan orang kepada beliau. Kata jiran saya lagi, ayahnya seorang yang tidak pernah berkira dalam soal memberi makan pada kucing. Dipendekkan cerita. Kata beliau, pada hari ayahnya meninggal dunia beratus-ratus kenderaan diparkir di sepanjang jalan bagi memberi penghormatan terakhir. Beribu orang hadir (sahabat yang dikenali di kedai kopi, kenalan jauh dan dekat dan ahli keluarga termasuk wakil rakyat - kebetulan YB di kawasan beliau itu merupakan sepupu sekali beliau) dan kata jiran saya, rezeki almarhum melimpah ruah. Wang sedekah para peziarah tidak habis makan setahun. Bahkan setelah disedekahkan kembali rezeki tersebut, masih bersisa sampai ke tahun berikutnya. Masya'Allah. Saya terpegun.

Saya teringat akan seorang wanita yang bekerja sebagai pembantu kedai makan berbangsa Burma yang dikenali semasa saya masih berada di Tak. Setiap hari (selalunya petang), beliau akan pergi ke kedai serbaneka yang terletak di dalam kawasan apartmen tempat saya menginap. Beliau selalu membeli 'benda-benda kecil' dalam jumlah yang kecil misalnya beberapa ketul kiub ais khusus buat menyejukkan kopi paket yang dibelinya. Bahkan kopi campuran yang berharga sekitar 7 baht itu juga dibelinya cuma satu paket. Sehinggakan peniaga kedai serbaneka menegur akan keanehan beliau. Mengapa tidak berbelanja benda yang kita sukai dalam jumlah yang besar - beli di supermarket dalam bungkusan besar (lebih menjimatkan) yang cukup buat 30 hari misalnya. Wanita itu berbuat demikian kerana hanya demi melihat wajah si peniaga yang mirip dengan wajah ibunya. Beliau mencari alasan mendekatkan diri supaya dapat meneruskan hidup. Kata si peniaga, wanita itu adalah mantan mangsa pemerdagangan manusia dan sehingga sekarang (dua tahun lepas) wanita itu tidak pernah pulang ke kampung halamannya. Selebihnya, cerita mengenai wanita Burma itu kekal misteri buat saya kerana tidak sempat saya jejaki akan kesudahannya.

Sahabat dekat saya yang berbangsa Filipina (beliau ini boleh jadi wakil seluruh bangsa Filipina) setiap kali jika kita bercerita mengenai sikap mereka yang mengutamakan keluarga secara luar biasa. Ke mana sahaja beliau pergi, apabila tiba soal bercuti panjang dan pulang ke kampung halaman perkara yang menjadi rutin wajib mereka ialah membeli cendera mata, beliau akan membawa pulang sebagasi buah tangan untuk ahli keluarga bahkan buat jiran tetangga. Coklat dan barang kemas adalah wajib. Kita juga sering berbelanja untuk ahli keluarga dan teman-teman setiap kali pulang dari tempat jauh tetapi tidak seganjil mereka yang boleh berhabisan hingga ribuan ringgit. Kata sahabat saya, kadangkala 'budaya' membeli cendera mata dalam skala besar-besaran ini menjadi punca komuniti mereka yang bekerja di luar negara agak liat hendak pulang dengan kerap tetapi menjelang Hari Natal, ia telah menjadi satu kemestian buat mereka untuk pulang. Dan hal itu membawa maksud jika mereka pulang dengan akaun bank berisi lebat maka selepas sebulan kemudian akaun bank mereka akan kosong. Sahabat saya sendiri sering membelanjakan sekitar 3-5 ribu MYR setiap kali pulang bercuti. Tetapi keganjilan inilah yang mengeratkan hubungan mereka selain beliau mementingkan doa-doa (bless) daripada kaum keluarga agar terus sukses. Katanya, wang boleh diraih kembali tetapi ketenangan hati yang diperolehi daripada restu keluarga, itu sangat penting. Ya, saya setuju. Dalam bahasa kita, dipanggil berkat. Keberkatan.


Ya Allah, Allahu, akhirnya pada posting kali ini saya tidak menyentuh sama sekali mengenai buku. Padahal saya teringin sekali mencatat tentang karya-karya Tanizaki Junichiro.



Salam hormat.

Comments

Popular posts from this blog

biodata ruhaini matdarin

Novel Jendela Menghadap Jalan - sebuah trivia; bahagian 1

Memori mengenai Jendela Menghadap Jalan