catatan di bulan Julai

Antara cerita kelahiran bayi dan keberangkatan ke alam kematian, mana satu yang meninggalkan kesan lebih mendalam pada diri kita?  Seorang bayi yang lahir, untuk beberapa tahun akan datang pasti akan  meningkat remaja, mempunyai kepintaran itu dan ini, menjadi sumber bahan ketawa dan gaduh orang tuanya serta jika saya ditakdirkan bernafas lebih lama untuk melihatnya menjadi dewasa dan memanggil saya mak cik atau nenek. Maklumat mengenainya akan berterusan saya terima.

Akan tetapi, bagi seseorang yang saya kenali selama lebih, katakanlah tiga dekad dan semalam berangkat kerana dipanggil Penciptanya memasuki sempadan akhirat. Berita mengenainya akan terputus sama sekali pada saat arwah ditanam ke dalam liang lahad. Kita tak dapat membayangkan untuk beberapa tahun akan datang, perjalanannya di alam yang tak  ada manusia hidup pernah ke sana dan kembali pada kita untuk bercerita. Kita mengenang mereka yang telah pergi ini dalam doa-doa. Kamu mungkin memanggilnya kehilangan atau rindu. Dan saya tertarik dengan pujukan; ia satu permulaan, kita semua akan ke sana.

Mana satu yang meninggalkan kesan mendalam dalam hidup kamu? Kehadiran orang hidup atau pemergian orang mati?

...............

Setiap petang Julai, hujan selalu membasahi Kota Kinabalu dan kebetulan saya mengulang baca sajak-sajak Sapardi dalam buku beliau Hujan Bulani Juni dan mendapati perasaan saya tidak sama ketika membacanya pada bulan Jun tetapi hujan tidak turun.

..............

Buku apa yang kamu baca semalam? Saya tertarik dengan tagline Dubook pada kotak pesanan buku yang saya tempah yang berbunyi: Hidup ini terlalu pendek untuk membaca buku yang teruk.
...............

Saya tidak aktif  bersosial di laman sosial dan beberapa kali saya harus menukar kata laluan untuk akaun facebook saya kerana lupa.
..............

Semenjak kemenangan Han Kang dalam The Man Booker Prize International, ia menaikkan semangat penterjemah dan syarikat penerbitan antarabangsa bagi mencari lebih banyak buku-buku pengarang Korea Selatan untuk diterjemahkan ke pelbagai bahasa.
............

Semoga Allah merahmati kita semua.



Salam hormat.

RM

Comments

Popular posts from this blog

biodata ruhaini matdarin

Novel Jendela Menghadap Jalan - sebuah trivia; bahagian 1

Memori mengenai Jendela Menghadap Jalan