delicacy, david foekinos dan perancis
Terdapat tiga dalil mengapa saya membaca novel ini:
1). Saya mula mengikuti sastera Perancis semenjak menggemari Gregoire Delacourt menerusi 'Wishlist'
2). Pengarang Perancis selalu tidak menyusahkan pembaca dengan cerita yang sukar - sering mudah, sederhana namun berbekas.
3). Sangat 'Perancis'
Buku ini diterjemah oleh Bruce Benderson daripada bahasa Perancis. Terbitan asli berjudul La Delicatesse, 2009 dan terjemahan bahasa English dilakukan oleh Harper Collins Publishers pada tahun 2011. Ceritanya mengenai Natalie (Audrey Tataou), seorang wanita muda yang baharu berkahwin namun suaminya meninggal dunia apabila terlibat dalam kemalangan yang dahsyat dan kegembiraan yang dinikmatinya berubah sekelip mata. Tidak lama kemudian, Natalie berusaha untuk maju ke hadapan dan meneruskan hidup dan kemunculan Charles memberikan satu harapan baharu buat Natalie. Akan tetapi Natalie masih keliru, berteka-teki, berperang dengan diri sendiri dan masih terperangkap pada masa lalu yang belum lama ditinggalkannya. Ceritanya mudah namun gubahannya yang segar dengan kemasukan pelbagai elemen seperti hobi Natalie yang suka pada sastera dan falsafah menjadikan jalan ceritanya sangat informatif.
Pengarangnya David Foekinos, yang juga merupakan penulis skrip menjadikan novel ini seolah-olah kita menonton filem dan ya, novel ini diadaptasi ke layar perak pada tahun 2012. Dibintangi pula oleh bintang antarabangsa Audey Tatou yang sangat berjaya menerusi peranannya dalam Amelie dan Da Vinci Code.
Lazimnya apabila membaca sastera antarabangsa, saya tidak kisah sangat akan plot namun mencari sesuatu yang tidak pernah saya temui menerusi pembacaan yang sudah-sudah dan Delicacy menemukan saya beberapa anekdot menarik berkenaan budaya dan gaya berfikir orang Perancis serta falsafah daripada pelbagai negara Eropah mengenai hidup sehari-harian. Barangkali samalah halnya orang asing mengagumi pantun dan syair Melayu. Secara tidak langsung ini satu teguran buat saya dan selepas menamatkan beberapa bahagian menarik pada buku ini saya akan bertanya pada diri: Apa yang sudah aku tulis selama ini?
Salam hormat
RM
Comments
Post a Comment