Light Boxes dan kegilaan Shane Jones
Tarikan utama saya membeli buku ini kerana kaver yang cantik, mengingatkan saya kepada kaver novel Saman, segera mengundang rasa ingin memiliki bagi penikmat seni.
Membaca Light Boxes yang setebal 167 halaman, diterbitkan pada tahun 2009 oleh Penguin Group, bersaiz passport dan lebih ringan daripada mana-mana telefon pintar pada masa kini, bukanlah satu jaminan bahawa anda boleh menghabiskan buku ini dalam tempoh masa yang singkat. Membaca Light Boxes tidak sama seperti membaca karya-karya Chinua Achebe atau Paulo Coelho. Namun sekiranya anda penggemar Marquez atau Laszlo, barangkali buku ini bakal menghiburkan anda dan mengenyangkan.
Buku ini gabungan prosa dan puisi. Absurd. Fantasi liar. Complex. Experimental. Surreal. Indah. Suara generasi baharu dalam sastera (jika boleh dianggap begitu). Bakal diadaptasi ke layar perak, khabarnya!
Cerita dalam buku ini berkisah mengenai perang terhadap
Februari. Latarnya di zaman pra
industri, di sebuah kampung, langit tiba-tiba gelap, burung-burung jatuh dari udara, paderi
membakar belon sutera dan gondola rotan, penduduknya berarak seperti badut
memakai topeng hantu bagi memerangi kuasa jahat dan mereka berpura-pura berada pada
musim kemarau meskipun salji turun lebat bagi memerangkap kuasa jahat tersebut.
Sementara Thaddeus, seorang tukang kayu yang kehilangan anak perempuan, isterinya juga hilang lalu dianggap sudah mati, dia berjuang mengawal fikirannya sendiri. Beliau
bertemu dengan sekumpulan ballonists yang bertindak liar. (bahagian ini sangat menarik, dan beberapa babak mengingatkan saya kepada novel Cantik Itu Luka, Eka Kurniawan, saya menyukai cara Jones bercerita)
Dan kanak-kanak hilang ketika malam sejuk membeku, kuda-kuda di tambatan menyeringai
kerana menghidu bahaya, burung hantu berpusing kepala menyaksikan bayang-bayang
hutan yang gelap, ada sumpahan yang bangkit perlahan-lahan, semuanya berpusat
pada seorang lelaki jahat bernama February.
Cukup tergoda untuk membaca?
***Buku ini saya baca selepas novel saya Dukana diterbitkan oleh ITBM pada tahun 2013. Terdapat beberapa babak dalam Light Boxes yang mengingatkan saya kepada watak-watak dalam Dukana, terutama sekali watak Yongnelawansa digilis roda sepuluh tayar :)#Membacauntukminda##Thinkbigthinknobleprize#Salam Hormat.
Comments
Post a Comment